[VIDEO] Keputusan rayuan kes rasuah RM3 juta Isa Samad minggu depan

Iklan

PUTRAJAYA - Keputusan rayuan pihak pendakwaan berhubung pembebasan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad atas sembilan kes rasuah lebih RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak ditetapkan pada 10 Februari.

Keputusan rayuan pihak pendakwaan berhubung pembebasan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad atas sembilan kes rasuah lebih RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak ditetapkan pada 10 Februari ini.

Iklan
Iklan

Panel tiga hakim dipengerusi Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Muhd Ruzima Ghazali, menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak.

Sebelum ini, pihak pendakwaan merayu kepada mahkamah supaya sabitan bersalah yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, berusia 77 tahun itu dikembalikan.

Iklan

Pada 3 Februari 2021, Mohd Isa dihukum penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan itu.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan berkuat kuasa selama enam tahun.

Iklan

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Pada 6 Mac 2024, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dilepas dan dibebaskan selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan sabitan serta hukuman berkenaan.

Panel yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, kini Hakim Mahkamah Persekutuan, bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohd Isa.

Susulan keputusan berkenaan, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac 2024 dan petisyen rayuan pada 26 Jun tahun sama dengan mengemukakan 24 alasan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pendakwaan merayu agar Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 yang mendapati Mohd Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta dan penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda.

Petisyen itu antara lain menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila membatalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Mohd Isa mengarahkan bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md Arip untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.

Pihak pendakwaan menyatakan, mereka telah mengemukakan bukti bahawa selepas dua pertemuan, Mohd Isa secara tidak langsung mengarahkan Muhammad Zahid untuk meminta rasuah daripada Ikhwan.

Muhammad Zahid kemudian bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan wang rasuah itu secara berperingkat kepada Mohd Isa.

Pendakwaan turut menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila mendapati wujud bukti daripada Ikhwan yang menunjukkan Mohd Isa tidak pernah meminta habuan daripada beliau dalam dua pertemuan di pejabatnya.

Mohd Isa didakwa pada 2018 atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah GAPSB ketika itu, Ikhwan Zaidel sebagai balasan meluluskan pembelian MPHS oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

MENYUSUL