Kolar - Gara-gara kecewa isteri larikan diri bersama kekasih gelap, seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai membunuh anak perempuannya yang berumur empat tahun sebelum ditemui mati pada Jumaat.
Menurut pihak polis, mayat kedua-dua mangsa, dikenal pasti sebagai Lokesh, 37, dan anak perempuannya Niharika, ditemui berhampiran kolej prauniversiti kerajaan di Mulbagal, Kolar pada Rabu.
Polis dari Balai Polis Luar Bandar Mulbagal menemui mayat Niharika di dalam sebuah kereta terbiar yang diletakkan di tepi jalan, manakala mayat Lokesh ditemui berhampiran sebatang pokok.
Ujar polis, Lokesh telah berkahwin dengan isterinya, Navyashri empat tahun lalu dan tinggal bersama keluarganya di Kampung Mudiyanuru, Mukim Mulbagal.
Sebelum meninggalkan rumah, Navyashri meninggalkan nota mengatakan bahawa dia tidak lagi mahu tinggal bersama Lokesh dan ingin memfailkan perceraian.
Dalam nota itu juga, dia meminta agar Lokesh tidak mencarinya.
Pada Selasa, Lokesh telah membuat laporan orang hilang berhubung kehilangan isterinya. Tidak lama selepas itu, dia meninggalkan rumah bersama anaknya, Niharika dengan menaiki kereta.
Difahamkan, dia sempat membawa anak perempuannya ke sebuah kedai roti dan membelikan makanan kegemarannya sebelum dipercayai mencekik mangsa hingga mati di dalam kereta tersebut.
Keesokan harinya, mayat Niharika ditemui di dalam kereta yang ditinggalkan di tepi jalan, manakala Lokesh ditemui mati tergantung pada sebatang pokok berhampiran lokasi sama.
Polis percaya, berdasarkan siasatan awal, isteri Lokesh menjalin hubungan dengan lelaki lain dan berhasrat untuk menuntut cerai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Bharatiya Nyaya Sanhita atas tuduhan bersubahat menyebabkan bunuh diri berdasarkan laporan dibuat oleh bapa Lokesh.
Polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian kedua-dua beranak itu.