ISKANDAR PUTERI - Kejadian letupan dan kebakaran di sebuah kapal kontena Kyparissia dari Malta, di Dermaga 4, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, pada Jumaat, tidak melibatkan pelepasan gas atau toksik yang berbahaya.
Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara tersebut turut disahkan oleh pihak PTP.
Tambah kenyataan itu lagi, siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada sebuah kontena semasa kapal tersebut dalam pelayaran dari PTP menuju ke Lome, Togo.
"Susulan kejadian itu, kapal terbabit berpatah balik ke PTP (Dermaga 4) bagi mendapatkan bantuan kecemasan dan menjalankan pemeriksaan lanjut.
"Insiden tersebut bagaimanapun telah mengorbankan tiga kru, manakala tiga lagi dilaporkan cedera dan telah dihantar ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Kawasan terjejas telah dikawal sepenuhnya dan semua laluan keluar masuk ke kawasan dermaga, termasuk pintu utama serta kawasan operasi, telah ditutup bagi tujuan keselamatan," jelas kenyataan itu lagi.
Sementara itu, JLM memaklumkan pihaknya telah menubuhkan pasukan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan ejen kapal berkenaan.
"Pasukan Kawalan Tumpahan Minyak (Oil Spill Response Team) JLM juga berada dalam keadaan bersiap siaga sekiranya diperlukan.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan hanya merujuk kepada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak sahih.
"JLM turut merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa yang terlibat," tambah kenyataan tersebut.
Pada Jumaat, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohamad Anuar Mohamad Amdzah dilaporkan berkata, tiga pekerja kapal maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kontena di atas kapal MSC Kyparissia terbakar di PTP.
Mangsa yang maut melibatkan seorang warga tempatan berumur 59 tahun, warga Filipina dan Britain masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an manakala tiga lagi mangsa melibatkan seorang warga tempatan berusia 26 tahun dan dua lelaki warga Filipina berusia dalam lingkungan 40-an.