KOTA BHARU – Pengasas Madrasah Ahbabul Mustafa Al-Islamiah di Tumpat, Muhammad Aswadi Yah atau Abuya mematuhi arahan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) untuk menutup sementara operasi pondok kendaliannya, selain bersedia mendaftarkan semula institusi berkenaan mengikut prosedur ditetapkan.
Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Mohd Anis Hussein berkata, sebelum itu pihaknya telah menghantar notis penutupan madrasah tersebut, dan setakat ini operasi di premis berkenaan telah dihentikan.
“Abuya telah menghantar surat kepada kami (MAIK) dua minggu lalu menyatakan pihaknya akur dan patuh terhadap keputusan yang dibuat oleh MAIK serta Jaheaik. Beliau juga bersedia untuk mendaftarkan pondok itu secara rasmi,” katanya.
Beliau berlata demikian semasa sidang akhbar selepas merasmikan Program Let's Do I.T 2025 di Masjid Jamek As-Salam Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, sekiranya proses pendaftaran selesai dan kelulusan diberikan, madrasah berkenaan boleh kembali beroperasi seperti biasa dan pelajar akan dibenarkan menyambung pengajian semula.
Mohd Anis menegaskan, sebarang isu membabitkan mudir madrasah itu adalah kesalahan individu dan tidak melibatkan keseluruhan institusi.
“Kalau mudir itu ada kes jenayah dan disabitkan kesalahan, kita tunggu keputusan pihak berkuasa.
"Tapi yang bersalah ialah individu, bukan madrasah. Setakat ini, madrasah itu sendiri diurus dengan baik dan pelajar pun tidak ada masalah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa MAIK akan menganjurkan sesi town hall bersama semua Institusi Pendidikan Islam (IPI) berdaftar, tidak berdaftar dan sementara di negeri ini bermula 16 hingga 18 November.
Ujarnya, dalam sesi itu nanti pihaknya akan memberi penerangan dan panduan kepada semua pihak.
"Termasuk Abuya sendiri yang turut dijangka hadir. Yang Dipertua MAIK juga sudah memanggil serta mengadakan pertemuan dengan IPI bagi tujuan penerangan," katanya.