KOTA BHARU - Penganjur Makar Fest XL akan dipanggil dalam masa terdekat berhubung persembahan dan tarian penonton yang tular di media sosial semasa konsert di Tunjung di sini pada Sabtu lalu.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, notis akan dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
"Asas utama kita adalah untuk mendidik dan memberi kesedaran supaya garisan panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri dipatuhi sepanjang mengadakan persembahan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Hilmi berkata, tindakan itu bertujuan merakam keterangan daripada pihak penganjur berhubung pelanggaran tersebut.
"Kerajaan negeri akan meneliti keterangan diberikan sebelum sebarang keputusan dibuat," tambahnya.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, penganjur Makar Fest XL memohon maaf secara terbuka berhubung persembahan dan tarian penonton yang tular di media sosial semasa konsert di Tunjung di sini pada Sabtu lalu.
Menurut pengarah program, Issey Fazlisham, penganjuran selama tiga hari itu dilaksanakan mengikut garis panduan dan enakmen hiburan yang dikeluarkan oleh MPKB-BRI.
Pada Selasa penganjur Makar Fest XL dikenakan tindakan tegas apabila wang cagaran berjumlah RM8,000 dirampas susulan pelanggaran syarat hiburan membabitkan percampuran bebas antar lelaki dan perempuan serta tarian penonton pada konsert penutup festival makanan di Tunjong itu.
Selain rampasan wang cagaran, penganjur turut berdepan penalti maksimum hingga RM30,000 serta berisiko disenarai hitam sekiranya gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan.