Pokok tualang 120 tahun 'kebal' akhirnya tumbang selepas empat kali cubaan

Iklan
Pokok tualang 120 tahun 'kebal' tumbang selepas empat kali cuba ditebang. Foto tular

GUA MUSANG -"Sudah empat kali kami cuba tebang pokok tualang ini namun gagal, malah setiap kali berbuat demikian mereka yang terlibat akan demam lebih seminggu."

Demikian cerita Pengurusan Trafik kepada projek jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 2A, Zillullah Zakaria, 30, yang memaklumkan mereka turut mengadakan solat hajat dan bacaan al-Quran sebelum memulakan kerja-kerja menebang pokok setinggi 60 meter di Kampung Sungai Bayu di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, urusan menebang pokok berusia 120 tahun yang didakwa 'kebal' dan mempunyai pelbagai kisah mistik itu berjalan lancar sehingga ia berjaya ditumbangkan dengan sempurna.

Ujar dia, proses menebang mengambil masa sekitar lima jam bermula jam 7 pagi dan tamat sekitar jam 12 tengah hari.

Iklan

"Pelbagai kisah yang berlaku sepanjang dua tahun perancangan untuk menebang pokok tualang ini, dengan empat kali cubaan yang gagal.

"Sebelumnya pihak Jabatan Perhutanan tidak membenarkan ia ditebang kerana dikatakan sebagai khazanah negeri. Namun selepas kami membuat balik permohonan dan perbincangan melibatkan Jabatan Perhutanan, JKR (Jabatan Kerja Raya), akhirnya ia terpaksa juga ditebang," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Menurut Zillullah, proses terbabit terpaksa dilakukan kerana ia melibatkan pembinaan lebuh raya LTU Pakej 2A kerana kedudukan pokok tualang tersebut berada di tepi kaki jalan.

Ujarnya, pokok terbabit tular dalam kalangan orang ramai kerana didakwa mempunyai pelbagai kisah mistik dan kawasan berkenaan dipercayai sering berlaku kemalangan jalan raya.

Sebelum ini tular di media sosial pokok tualang yang berada di laluan Kuala Krai-Gua Musang berhampiran Kampung Sungai Bayu itu didakwa 'kebal' kerana mempunyai penunggu.