SHAH ALAM - Program Usrah Fiqh An-Nisa’ anjuran Bahagian Hal Ehwal Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) terus memperkukuh peranan al-Quran dalam kehidupan kampus menerusi sesi tadabbur Surah al-Sajadah bertemakan ‘Sembuh, Bangkit dan Hebat’.
Program tahunan ini menjadi platform untuk memperkasa kefahaman hal ehwal Islam serta penghayatan al-Quran dalam kalangan warga universiti, khususnya golongan wanita, agar mereka lebih menyedari hakikat diri sebagai hamba yang sentiasa bergantung kepada ALLAH.
Pentadabbur yang juga Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan (RnD) WUIF, Norsyamimi Syarah Mohd Ghazi berkata, Surah al-Sajadah memainkan peranan besar dalam menetapkan semula keimanan serta mengingatkan manusia kepada ALLAH dan akhirat.
Menurutnya, Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan bacaan Surah al-Sajadah dan al-Mulk sebelum tidur (Sunan Tirmizi, no 2892), sekali gus membuktikan ia adalah surah yang menyegarkan iman dan menenangkan jiwa.
“Surah ini mengajak kita menilai semula tujuan hidup dan arah perjalanan sebagai hamba. Ia menjadi cermin untuk menyedarkan bahawa kehidupan dunia ini hanyalah persinggahan menuju akhirat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau menegaskan, ramai umat Islam hari ini menunaikan solat sebagai rutin, namun gagal membawa roh sujud ke dalam kehidupan harian.
“Solat kita hanya lima minit, tetapi bagaimana dengan 24 jam yang lain? Surah al-Sajadah mengajar kita hidup dalam keadaan sujud, bukan hanya di atas sejadah, tetapi dalam setiap tindakan, pemikiran dan pekerjaan,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pendaftar Hal Ehwal Islam UiTM, Nur Ilmina Batrisyia Bahrim berkata, tema ‘Sembuh, Bangkit dan Hebat’ dipilih bukan sahaja untuk memperkasa sahsiah, tetapi turut membuka perspektif baharu terhadap penjagaan kesihatan mental dan emosi dalam kerangka Islam sebagai seorang Muslimah.
Katanya, setiap wanita pasti melalui fasa sembuh daripada ujian, bangkit dengan kekuatan, dan akhirnya menjadi hebat dengan keimanan.
“Kerjasama dengan WUIF memberi impak besar kepada warga universiti kerana ia membantu membentuk perspektif Islam bukan hanya berkisar pada ritual, tetapi meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk pembelajaran dan kerjaya.
“Seperti yang kita tahu, WUIF sinonim dengan penganjuran QuranHour, dengan itu menjadi fokus kami dalam memperkukuh budaya cinta al-Quran di kalangan warga kampus,” katanya.
Bagi Pengurus Projek Soul Fitness, Siti Hajar Hidayati Hamid, program ini turut memberi penekanan kepada isu kesihatan mental pelajar melalui pendekatan terapi berasaskan al-Quran.
“Al-Quran bukan sekadar dibaca, tetapi perlu difahami dan diamalkan supaya mampu meresap ke dalam jiwa. Bila al-Quran menjadi panduan hidup, ia menyembuhkan luka, membangkitkan semangat dan menjadikan kita hamba yang hebat,” katanya.