Curi air bukan jenayah kecil

Iklan
Pendedahan eksklusif Sinar Harian bertajuk ‘Resort mewah curi air, bil pernah RM36 sebulan!’ yang disiarkan pada 6 November 2025.

MELALUI pendedahan eksklusif Sinar Harian bertajuk ‘Resort mewah curi air, bil pernah RM36 sebulan!’ yang disiarkan semalam, masyarakat sekali lagi dikejutkan dengan betapa mudahnya sumber air negara diseleweng demi keuntungan peribadi.

Di sebalik keindahan landskap sawah padi di Sekinchan, sebuah resort mewah dikesan menikmati kemudahan air dengan bil pernah serendah RM36 sebulan. Angka mustahil bagi premis penginapan lebih 40 bilik lengkap dengan dewan dan kafe.

Iklan
Iklan

Hasil risikan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Air Selangor membongkar sambungan paip haram sepanjang hampir 600 meter dari saluran utama yang membolehkan pemiliknya menikmati air percuma selama berbulan-bulan tanpa dikesan.

Lebih membimbangkan, resort ini bukan satu-satunya premis yang ‘mencuri’ air. Dalam operasi sama, dua lagi lokasi termasuk kolam pancing dan depot logistik turut dikesan melakukan sambungan tidak sah.

Iklan

Kegiatan sebegini bukan kes terpencil tetapi ia sebahagian daripada 1,191 kes kecurian air yang direkodkan di seluruh negara sejak 2020 dengan kerugian keseluruhan melebihi RM32 juta.

Nilai itu cukup untuk mengganti ribuan meter paip usang dan menambah baik sistem bekalan yang sering menjadi rungutan pengguna.

Iklan

Isu kehilangan air tanpa hasil (NRW) bukan semata-mata masalah teknikal tetapi manifestasi kerakusan manusia.

Bila air yang dirawat hilang sebelum sampai ke pengguna sah, bukan sahaja operator rugi tetapi rakyat turut menanggung akibat seperti tekanan air rendah, gangguan bekalan dan peningkatan kos operasi.

Kerajaan melalui pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang berkuat kuasa tahun ini telah memperkenalkan hukuman lebih berat termasuk denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun bagi pesalah yang membuat sambungan haram. Langkah ini wajar, namun pelaksanaannya perlu disertai penguatkuasaan agresif dan kesedaran awam yang konsisten.

Kecurian air bukan isu pinggiran. Ia mencerminkan sejauh mana nilai integriti dan tanggungjawab sosial kita terhadap sumber awam. Tindakan penguatkuasaan tidak boleh terhenti di lokasi serbuan tetapi perlu diperluas ke seluruh sektor komersial dan industri berisiko tinggi.

Setiap titisan air yang dicuri adalah kerugian kepada negara dan lebih parah kehilangan amanah kepada generasi akan datang.