Kerajaan jimat RM15.5 bilion setahun

Iklan
Kerajaan dijangka dapat menjimatkan sehingga RM15.5 bilion setahun dengan penyesuaian subsidi barangan asas secara bersasar. Gambar kecil: Umi Hamidaton

SHAH ALAM - Kerajaan dijangka dapat menjimatkan sehingga RM15.5 bilion setahun jika langkah penyesuaian subsidi barangan asas seperti gula, beras dan minyak masak dilaksanakan secara bersasar.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, jika pelaksanaan subsidi bersasar dilakukan dengan teliti, jumlah penjimatan boleh meningkat antara 15 hingga 20 peratus daripada kos sedia ada.

Iklan
Iklan

“Langkah kerajaan meneliti penyesuaian subsidi selepas BUDI Madani RON95 (BUDI95) berjalan lancar adalah relevan dan wajar dilaksanakan secara berperingkat.

“Ia bukan sahaja menjimatkan kos, tetapi meningkatkan keupayaan fiskal negara,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Iklan

Dalam pada itu, Umi Hamidaton turut menekankan bahawa subsidi bersasar memberi manfaat lebih besar kepada golongan rentan, terutamanya kumpulan B40, yang akan menerima bantuan secara langsung.

“Penjimatan daripada subsidi juga boleh dialihkan kepada sektor lain seperti pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Iklan

Beliau menambah, mekanisme yang berkesan diperlukan bagi memastikan subsidi sampai kepada golongan yang tepat, termasuk melalui sistem bersepadu berdasarkan maklumat isi rumah, pendapatan dan tanggungan.

“Proses ini perlu dilakukan secara berperingkat bagi memastikan peralihan berjalan lancar.

“Selain itu, wujudkan badan bebas untuk audit dan pelaporan berkala bagi menilai prestasi pelaksanaan dan keberkesanan subsidi bersasar,” ujarnya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Isnin berkata, kerajaan akan meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi dan bantuan ke atas barangan bersubsidi seperti gula, beras dan minyak masak secara berperingkat dan berfasa.

Menurutnya, langkah tersebut bertujuan mengelakkan ketirisan serta menjamin barangan bersubsidi hanya dinikmati oleh golongan benar-benar memerlukan seperti yang dilaksanakan menerusi BUDI95 dan subsidi diesel.