DI MALAYSIA hari ini isu mobiliti sosial iaitu keupayaan individu untuk ‘naik’ dari tahap ekonomi atau sosial ibu bapa mereka menjadi satu cabaran sebenar yang menuntut perhatian mendalam.
Kajian Khazanah Research Institute mendapati walaupun ramai anak kini memperoleh tahap pendidikan lebih tinggi berbanding ibu bapa, namun peluang mereka untuk mencapai pekerjaan berkemahiran tinggi atau pendapatan jauh lebih baik masih terhad.
Demikian juga, laporan World Bank mendapati bahawa kadar mobiliti relatif iaitu peluang seseorang meningkatkan kedudukan sosioekonomi berbanding rakan sebaya masih rendah di Malaysia.
Masalah utama dihadapi adalah soal struktur sosioekonomi yang mengukuhkan ketidaksamaan sejak dari kecil lagi.
Laporan World Bank menyebut bahawa walaupun akses kepada pendidikan dan kesihatan semakin baik secara mutlak, anak-anak daripada 20 peratus isi rumah termiskin berkemungkinan besar kekal di lapisan bawah.
Sebagai contoh, anak dari kawasan luar bandar dan isi rumah berpendapatan rendah mungkin menghadapi sekolah yang kurang lengkap fasiliti, guru kurang khusus dan kurang terdedah kepada jaringan sosial atau peluang kerjaya.
Selain itu, perubahan ekonomi dan pekerjaan memerlukan kemahiran tinggi membuatkan peralihan daripada pekerjaan rendah ke tinggi semakin sukar walaupun pendidikan dasar ada, namun pekerjaan menaik memang kurang.
Contoh yang menggambarkan realiti ini boleh dilihat di kawasan-kawasan luar bandar atau Felda, di mana generasi muda walaupun bersekolah, masih bekerja dalam sektor kurang produktiviti atau bergaji rendah.
Ia disebabkan kurangnya peluang pekerjaan maju serta kurang akses rangkaian sosial yang membuka jalan ke sektor moden.
Justeru, antara langkah yang boleh dipertimbangkan adalah memperkukuh akses pendidikan berkualiti bermula dari awal di kawasan terpinggir kerana faktor awal kehidupan seperti pemakanan, kesihatan ibu serta fasiliti sekolah menjadi substrat mobiliti.
Dalam masa sama, usaha juga perlu bagi memperluas program latihan kemahiran dan pembangunan kerjaya, khusus untuk golongan muda di kawasan luar bandar.
Sekiranya isu ini tidak ditangani risikonya adalah generasi muda dari latar belakang kurang bernasib baik akan terus terperangkap di lapisan bawah.