Penduduk Pahang diminta peka fenomena air pasang besar

Iklan
Chan Kuang ditemani Rohushsyifa melihat salah satu siren yang dipasang di Kampung Galing selepas menghadiri Taklimat PRAB di Perkarangan Surau Kampung Galing di sini pada Rabu. Foto Sinar Harian

KUANTAN – Penduduk di kawasan pesisir pantai Kuantan, Pekan dan Rompin diingatkan supaya berwaspada dengan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku bermula Rabu hingga Disember depan.

Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuantan, Rohushsyifa Ahmad Radzi berkata, mereka yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai disarankan untuk memantau paras air serta segera bertindak sekiranya menerima amaran daripada pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan data diperoleh, fenomena itu dijangka berlaku dalam beberapa siri antara 5 hingga 11 November, manakala paras tertinggi dijangka mencecah 3.8 meter pada awal Disember nanti.

Rohushsyifa

Iklan

"Jika air pasang besar bertembung dengan hujan lebat, risiko banjir boleh meningkat dan penduduk diminta bersiap siaga serta peka dengan tarikh penting air pasang.

“Sekiranya siren berbunyi, mereka perlu bersedia untuk berpindah atau berpindah jika diarahkan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Fungsi dan Kesedaran Stesen Telemetri dan Siren Amaran Awal Banjir (PRAB) di Perkarangan Surau Kampung Galing di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang.

Rohushsyifa menjelaskan, maklumat berkaitan paras air dan jadual pasang surut akan disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) untuk tindakan lanjut serta hebahan kepada penduduk.

Katanya, taklimat kesedaran itu dijalankan bagi memastikan komuniti setempat memahami fungsi dua jenis bunyi siren yang menandakan amaran awal dan arahan berpindah.

“Buat masa ini, taklimat diadakan di Kuantan terlebih dahulu dan kita harap pihak kampung dapat bantu hebahkan maklumat kepada penduduk lain,” ujarnya.

Beliau berkata, sebanyak 57 lokasi berisiko banjir dikenal pasti di daerah ini, kini dipantau menggunakan sistem siren amaran awal beroperasi secara masa nyata melalui aplikasi Public Info Banjir.

Rohushsyifa menambah, pada ketika ini siren amaran sedang diuji bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan baik.

"JPS turut mengambil langkah pencegahan terhadap gangguan sistem siren akibat hidupan laut dan sampah dengan memasang jaring perlindungan di beberapa lokasi.

“Kita harap penduduk bantu pantau. Jika siren berbunyi di luar waktu sebenar, segera maklumkan kepada JPS supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Rohushsyifa turut menasihatkan orang ramai tidak membuang sampah merata-rata kerana sisa itu boleh terbawa ke sungai ketika hujan dan menjejaskan aliran air.

“Kita mungkin rasa buang sampah di depan rumah tidak beri kesan, tapi akhirnya sampah itu akan sampai ke sungai dan laut. Jadi kita harap masyarakat lebih berdisiplin,” katanya.