'Kami perlukan hospital kerajaan di Nilai'

Iklan
Kementerian Kesihatan dicadangkan untuk menyediakan unit kecemasan di Klinik Kesihatan Nilai yang beroperasi 24 jam. Gambar kecil: Dari kiri; Norjorhana, Syed Alwi dan Safaruddin

NILAI - Kawasan Nilai yang dahulunya hanya sebuah pekan kecil kini pesat membangun dengan kepadatan penduduk melebihi 120,000 orang.

Namun ketiadaan sebuah hospital kerajaan menimbulkan kesukaran kepada penduduk untuk mendapatkan rawatan kecemasan terutama pada waktu malam.

Iklan
Iklan

Ini kerana mereka terpaksa melalui perjalanan sekitar 30 kilometer bagi mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Norjorhana Mohd Shaharudin, 30, berkata, sudah menjadi keperluan untuk sebuah hospital kerajaan dibina di kawasan terbabit memandangkan jumlah kawasan perumahan yang semakin bertambah.

Iklan

Katanya, penduduk terpaksa ke HTJ yang jaraknya agak jauh sekiranya berlaku kes kecemasan.

“Sudah tiba masanya sebuah hospital kerajaan dibina di sini kerana penduduk semakin bertambah, jadi tidaklah semuanya tertumpu ke HTJ.

Iklan

“Keadaan menjadi lebih sukar jika nak dapatkan rawatan kecemasan pada waktu malam kerana tiada klinik kesihatan di sini yang operasinya 24 jam,” katanya.

Ujarnya, dia pernah hadir ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan kecemasan untuk ibunya yang mengalami sakit jantung pada waktu malam, namun diminta rujuk ke HTJ.

Hafifon Ayob, 56, yang tinggal di Kampung Stesen pula berkongsi pengalaman terpaksa menghantar isterinya yang sarat mahu bersalin ke klinik swasta kerana bimbang tidak sempat untuk ke HTJ.

“Memang hospital kerajaan pilihan kami, tapi malam itu air ketuban isteri pecah tiba-tiba dan nak ke HTJ pula agak jauh.

“Saya tiada pilihan terpaksa bawa isteri ke klinik swasta saja. Mujurlah isteri bersalin normal, kalau secara pembedahan pening juga saya nak cari wang untuk bayar bil,” katanya yang mencari rezeki sebagai tukang kasut.

Tambahnya, dengan kemudahan lebuh raya hari ini sememangnya perjalanan ke Seremban tidaklah begitu jauh, namun berisiko kepada pesakit sekiranya berlakunya kesesakan.

Dia yang tinggal di kawasan Nilai lebih 30 tahun amat mengharapkan sebuah hospital kerajaan dapat dibina di situ untuk kemudahan penduduk terutama bagi golongan B40.

Turut mempunyai harapan sama Pengerusi Wanita Perkim Cawangan Nilai, Muzaliza Musa, 45, yang enam daripada lapan anaknya dilahirkan di HTJ.

“Macam saya golongan B40 ini, memang mengharapkan perkhidmatan di hospital kerajaanlah dan sebab itu semua anak saya dilahirkan di HTJ.

“Kalau orang berduit, bolehlah pergi hospital swasta,” katanya.

Dia yang duduk di kawasan Nilai sejak tahun 2001 berkata, jika dulu mungkin tiada keperluan untuk membina hospital kerajaan di situ kerana penduduknya tidak ramai.

Namun kata Muzaliza, dengan pertambahan banyak kawasan perumahan baharu di situ, kemudahan hospital kerajaan kini menjadi keperluan yang mendesak.

“Kalau ada yang ambil perlindungan insurans perubatan, bolehlah mendapatkan rawatan di hospital swasta dan itu pun terdapat had penggunaan.

“Jadinya sebagai penduduk Nilai saya merasakan perlunya kerajaan mempertimbangkan bina sebuah hospital kerajaan di sini,” katanya.

Sementara itu, Safaruddin Baharuddin, 66, berkata, walaupun sepanjang usianya tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital, tetapi tetap merasakan kemudahan tersebut diperlukan di sini.

Jelasnya, perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Seremban agak jauh terutama bagi golongan warga emas sepertinya.

“Alhamdulillah, saya tak pernah lagi perlu ke hospital untuk rawatan melainkan ke klinik kesihatan saja.

“Tapi baguslah sekiranya dibina sebuah hospital kerajaan di sini,” katanya.

SEDIAKAN UNIT KECEMASAN DI KK NILAI

Kementerian Kesihatan dicadangkan untuk menyediakan unit kecemasan di Klinik Kesihatan (KK) Nilai yang beroperasi 24 jam bagi memudahkan penduduk di kawasan itu mendapatkan rawatan khususnya pada waktu malam.

Penduduk Syed Alwi Syed Jaafar berkata, langkah itu boleh dijadikan alternatif jangka pendek sekiranya kemudahan hospital kerajaan tidak dapat dibina di kawasan berkenaan.

“Keperluan adanya sebuah hospital kerajaan di Nilai ini bagi saya memang mendesak kerana paling dekat kita perlu ke HTJ di Seremban untuk rawatan.

“Kalau tidak dapat buat hospital besar seperti HTJ pun, sekurang-kurangnya ada unit kecemasan disediakan di KK Nilai,” katanya.

Dia turut memaklumkan pernah menghantar aduan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam berhubung keperluan adanya hospital kerajaan di kawasan berkenaan.

Ini kerana kata Syed Alwi, dia pernah mendapat aduan penduduk yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan di HTJ yang sememangnya sudah sesak dengan pesakit.

“Langkah kerajaan nak bina hospital baharu di Seremban itu betul juga untuk kurang kesesakan, tapi perlu juga ada hospital kerajaan dibina di Nilai.

“Sekarang ini pun ada beberapa lagi projek perumahan sedang dibangunkan di Nilai dan semestinya penduduk makin bertambah,” katanya.