Guru obesiti 350kg terlantar dalam bilik air

Iklan
Operasi membantu pesakit obesiti dalam keadaan lemah sebelum dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut. - Foto: Bomba

MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengambil masa lebih satu jam untuk membantu seorang lelaki obesiti seberat 350 kilogram yang berada dalam keadaan lemah di sebuah rumah di Taman Sri Gemilan, Kuala Sungai Baru ke hospital awal pagi Sabtu.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.56 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 3.08 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa berusia 40 tahun yang merupakan seorang guru berada dalam keadaan tidak berdaya di dalam bilik air rumahnya dan memerlukan bantuan untuk dipindahkan.

“Maklumat awal diperoleh daripada isteri mangsa yang memaklumkan bahawa mangsa mengalami demam sejak seminggu lalu dan sedang bercuti sakit (MC).

Iklan

“Mangsa juga mempunyai sejarah asma serta mengalami sakit pada bahagian kaki akibat jangkitan kuman, menyebabkan beliau tidak mempunyai tenaga untuk bergerak,” katanya.

Mohd Hafidzatullah berkata, operasi mengambil masa lebih lama berikutan ruang bilik air yang sempit, selain anggota bomba perlu memberi masa kepada mangsa yang sedang menahan kesakitan sebelum dipindahkan.

Iklan

“Mangsa tidak terjatuh, sebaliknya berada dalam keadaan lemah kerana tidak makan dan tidak mempunyai tenaga untuk bergerak. Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa dari bilik air,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa menggunakan lori angkut bomba dengan diiringi pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Alor Gajah.

Ujarnya, operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.18 pagi dan semua anggota yang terlibat berada dalam keadaan selamat.