BAYAN LEPAS – Jalan Kenari di Sungai Ara di sini ditutup sementara selepas berlaku kejadian lubang benam di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ara, petang Selasa.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.40 petang itu melibatkan lubang bersaiz kira-kira 5 meter panjang, 3.5 meter lebar dan 1.9 meter dalam.
"Tiada kecederaan atau kemalangan dilaporkan dalam insiden berkenaan.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil tindakan segera dengan memasang penghadang plastik di lokasi serta menutup laluan berkenaan bagi tujuan lencongan trafik ke Jalan Sungai Ara 1, Jalan Persiaran Relau dan Jalan Kedidi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, JKR turut memohon kerjasama daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) dan Indah Water Konsortium (IWK) untuk membuat siasatan berkaitan aset masing-masing.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan memerlukan kajian terperinci.
“JKR komited memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kesabaran dan kerjasama sepanjang kerja-kerja pembaikan dijalankan.