SHAH ALAM – Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia didakwa tidak memberi manfaat kepada perjuangan rakyat Palestin.
BDS Malaysia berkata, pihaknya mengambil perhatian perdebatan mengenai manfaat lawatan itu dan menekankan kesannya terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk keadilan, kebebasan dan kesaksamaan di tanah air mereka.
“Fokus kami adalah terhadap kesan lawatannya kepada perjuangan mendapatkan keadilan, kebebasan dan kesaksamaan untuk rakyat Palestin.
“Adalah penting untuk menyedari bahawa AS telah menjadi penyedia utama perlindungan diplomatik dan pembekal senjata kepada Israel, membolehkannya melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin selama beberapa dekad, termasuk pembunuhan beramai-ramai di Gaza,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, dasar Trump tidak berubah secara ketara, sebaliknya beliau mengukuhkan sokongan AS terhadap Israel sejak menjadi presiden sama ada dalam penggal pertama atau kedua.
"Antara tindakan Trump yang menunjukkan pendiriannya termasuk membatalkan keputusan Joe Biden pada 25 Januari 2025 untuk menghentikan penghantaran senjata ke Israel dan meluluskan penghantaran bom 2,000 paun.
“Trump juga memveto resolusi gencatan senjata PBB di Gaza pada Jun 2025, menamatkan pembiayaan kepada UNRWA, dan mengenakan sekatan ke atas pegawai ICC serta Francesca Albanese kerana laporan mereka menentang kekejaman Israel," katanya.
Dalam pada itu katanya, Perdana Menteri Malaysia mempertahankan jemputan Trump dengan alasan membangkitkan isu Palestin dan berharap terdapat 'penyelesaian komprehensif' untuk konflik di Gaza.
“Bagaimanapun, beliau tidak menghuraikan maksud sebenar penyelesaian komprehensif itu, selain sokongan terhadap pelan damai Trump. Malangnya, pelan itu sangat tidak adil kepada rakyat Palestin kerana menafikan elemen penentuan nasib sendiri mereka.
“Memandangkan Malaysia menyokong penyelesaian dua negara, cadangan penyelesaian komprehensif itu sia-sia kerana ia memberi Israel lebih masa membina penempatan di Tebing Barat,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan mesti meningkatkan usaha merayu kepada masyarakat antarabangsa termasuk Amerika Syarikat dan menghentikan urusan dengan syarikat yang bersubahat dengan Israel termasuk Caterpillar, Amazon Web Services, Microsoft, Boeing dan Google sehingga Israel memenuhi tiga tuntutan utama.
"Tiga tuntutan itu membabitkan mengakhiri pendudukan yang mana Gerakan BDS menuntut pengakhiran pendudukan dan penjajahan Israel ke atas semua tanah Arab yang diduduki pada tahun 1967 dan pembongkaran penghalang pemisah.
"Seterusnya, mencapai kesaksamaan penuh iaitu menyeru pengiktirafan hak asasi warga Palestin Israel untuk kesaksamaan sivil sepenuhnya dan mengakui hak untuk kembali yang menuntut penghormatan, perlindungan, promosi hak pelarian Palestin untuk kembali ke rumah dan harta benda mereka, seperti yang termaktub dalam Resolusi PBB 194," katanya.
Katanya, hanya dengan langkah-langkah ini, rakyat Malaysia akan yakin kerajaan benar-benar komited menghentikan ketidakadilan berterusan terhadap rakyat Palestin.