MARA bela nasib atlet negara

Iklan
Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman (depan, empat dari kanan) bersama rakan strategik dan regu sepak takraw MARA yang mengambil bahagian dalam edisi keempat Piala Tun Ali 2025 yang menyingkap tirai di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit, Melaka dari 3 hingga 9 November. FOTO : ROSLI TALIB SINAR HARIAN

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) memecah tradisi dengan melancarkan skuad sepak takraw elitnya yang pertama, bukan sekadar untuk memburu kejuaraan sulung dalam Piala Tun Ali 2025, tetapi didorong oleh misi lebih besar untuk membela nasib dan menjamin masa depan jaguh-jaguh sukan negara yang sering dilupakan selepas bersara.

Inisiatif bersejarah yang digerakkan atas kesedaran terhadap realiti pahit ramai bekas atlet negara yang terabai, dizahirkan sendiri oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, yang menyifatkan langkah itu sebagai satu amanah untuk memastikan wira-wira negara tidak lagi bergelar ‘wira tidak didendang’.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sudah terlalu lama Malaysia menyaksikan senario di mana atlet yang pernah mengharumkan nama negara di peringkat dunia terpaksa berdepan kesempitan hidup apabila karier mereka di gelanggang berakhir.

“Kita sering melihat jaguh-jaguh yang dahulu kita laungkan nama mereka, akhirnya dilupakan. Mereka yang dianggap hero ini, apabila usia meningkat, ada yang hidup dalam keadaan melarat dan tidak diambil berat, sedangkan merekalah yang menaikkan nama negara.

Iklan

“MARA tidak mahu melihat perkara ini berterusan. Kerana itu, kami mengambil inisiatif pertama ini dengan memberi fokus kepada sepak takraw, sukan yang begitu sinonim dengan orang Melayu dan Bumiputera, untuk mengubah naratif ini,” katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian MARA Squad Unleashed di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Menjelaskan model kebajikan itu, Zulfikri berkata, MARA telah menawarkan peluang kerjaya kepada barisan pemain sepak takraw kebangsaan untuk berkhidmat sebagai kakitangan tetap di dalam agensi itu atau anak-anak syarikatnya.

Iklan

Langkah strategik itu, tegasnya, bukan sahaja menyediakan jaring keselamatan ekonomi tetapi membuka laluan kerjaya yang stabil selepas mereka tidak lagi aktif menyumbang tenaga dalam sukan.

“Apabila mereka menjadi sebahagian daripada keluarga MARA, masa depan mereka lebih terbela. Mereka boleh meneruskan khidmat dalam agensi kerajaan dan tidak lagi akan bergelar ‘unsung heroes’. Mereka akan tetap menjadi hero negara kita selama-lamanya,” ujar beliau.

Komitmen MARA terhadap pembangunan sukan sepak takraw tidak terhenti di situ sahaja apabila Zulfikri turut mendedahkan kerjasama erat agensi itu dengan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) melalui penubuhan Pusat Kecemerlangan Sepaktakraw MARA-PSM di Kuantan.

Pusat itu katanya berfungsi sebagai platform pembangunan akar umbi yang menggabungkan latihan sukan intensif dengan pendidikan formal, khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kami mengambil pemain-pemain muda berpotensi dan bukan sahaja melatih mereka menjadi atlet hebat, tetapi dalam masa sama, kami beri mereka peluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan MARA seperti GiatMARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA atau Kolej Poly-Tech MARA.

“Jadi kita selang-selikan, latihan setiap hari, belajar pun setiap hari. Hasrat kami ialah untuk melahirkan atlet yang hebat di gelanggang dan terjamin masa depannya apabila mereka memiliki kemahiran untuk menjadi usahawan terbilang,” jelasnya.

Menyentuh penyertaan sulung MARA dalam Piala Tun Ali, Zulfikri optimis bahawa skuad yang dibarisi nama-nama besar sepak takraw negara itu akan menjadi sebuah pasukan yang digeruni.

“Walaupun sebelum ini pemain-pemain ini mewakili pasukan negeri atau kelab lain, kali ini apabila majikan mereka sendiri turun padang, saya percaya 100 peratus hati mereka adalah untuk mengharumkan nama MARA.

“Saya menaruh harapan tinggi, dengan penampilan pertama ini, MARA akan terus diangkat menjadi johan Piala Tun Ali 2025,” katanya sambil menyeru lebih banyak organisasi korporat dan agensi lain untuk mencontohi langkah MARA dalam menjaga kebajikan atlet negara.

Cabaran MARA dalam penampilan sulung Piala Tun Ali 2025 dibawah kendalian Azhar Sarabini diperkuatkan Syahir Rosdi, Amirul Zazwan Amir, Aekkasit Naphom, Muhammad Firdaus Hamidi, Amyrul Syafiq Shamuddin.

INFO

PIALA TUN ALI 2025

REGU LELAKI

Kumpulan E

MARA

Sabah

KPT-Masum

KUADRAN

Kumpulan G

PDRM

Kelantan

MARA

REGU WANITA

Kumpulan D

Sabah

Pulau Pinang

MARA