KUALA LUMPUR - Bilik-bilik kecil yang diubah suai di tingkat dua bangunan selain pintu berkunci membongkar aktiviti sindiket menjual barang tiruan di Jalan Petaling di sini pada Khamis.
Kegiatan itu terbongkar menerusi serbuan Op Putra 7.0 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dengan kerjasama pemilik cap dagang bermula jam 2 petang.
Tinjauan Sinar Harian mendapati satu premis di tingkat dua telah diubah suai menjadi tujuh bilik-bilik kecil sebagai stor selain beberapa deretan kedai di bahagian belakang yang juga menjadi tempat simpanan barangan terbabit.
Bagaimanapun, premis yang dipercayai 'dijaga' warga asing sebagai pekerja itu telah melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, risikan selama dua minggu itu telah menggeledah empat stor dan berjaya merampas kira-kira 5,000 unit barangan disyaki tiruan dianggarkan bernilai RM700,000.
Menurutnya, barangan tersebut terdiri daripada kasut, beg tangan, dompet, selipar dan baju.
"Modus operandi yang dikesan adalah sindiket disyaki menyewa premis (stor) itu dan sering berpindah-pindah. Setiap bilik kecil dipercayai dimiliki oleh individu berlainan.
"Barangan terbabit disyaki dijual secara fizikal atau dalam talian dengan harga bermula RM80 hingga RM1,500 bergantung kepada jenis barang serta gred. Seutas beg tangan dengan gred AAA dikesan dijual dengan harga RM1,500," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, KPDN sedang menyiasat pemilik dan kadar sewa premis terbabit untuk tindakan lanjut di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Tambahnya, barangan-barangan daripada pelbagai gred itu disyaki dibawa masuk dari luar negara.
Tegas Mohd Sabri, KPDN Kuala Lumpur menjalankan usaha berterusan dan Malaysia telah dikeluarkan daripada laporan United States Trade Representative (USTR) mengenai penjualan barangan tiruan.
"Ini bagi memelihara hak pengguna kerana ada pelancong tertipu dengan barang tiruan gred tinggi dan dijual pada harga premium. Kepada peniaga usah menjual atau terlibat mengedar barangan tiruan.
"KPDN KL sentiasa tegas dan bertindak. Para pengguna juga diingatkan agar tidak menyokong barang tiruan ini kerana ia beri kesan tidak baik kepada industri perniagaan dalam negara," ujarnya.
Tambah beliau, sejak Op Putra dilancarkan pada 2023, sebanyak 54 kes dilaksanakan dengan sitaan barang melebihi 31,000 unit bernilai RM3.38 juta serta sembilan tangkapan.