SHAH ALAM - Pertubuhan Perdana Nasional (PPN) mencadangkan pelaksanaan audit etika automatik berasaskan kecerdasan buatan (AI) Integrity Scan sebagai inovasi pencegahan rasuah generasi baharu.
Presidennya, Abdul Hakim Hafizi Hamizan berkata, sistem itu menggunakan AI untuk mengesan pola kelakuan mencurigakan dalam masa nyata termasuk dalam proses kelulusan pinjaman, pengurusan dana awam dan transaksi kewangan antara agensi.
Menurutnya, AI mampu membina profil integriti pegawai berdasarkan corak keputusan dan gaya kerja mereka, sekali gus membolehkan anomali atau penyalahgunaan kuasa dikenal pasti lebih awal.
“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan manipulasi manusia, tetapi juga meningkatkan ketelusan urusan bank dan jabatan awam serta mengukuhkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap sistem pentadbiran yang bebas suapan.
“Dengan AI Integrity Scan, Malaysia mampu bergerak ke arah pemerintahan digital yang bersih, cekap dan berintegriti,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, dua pegawai bank dan seorang bekas eksekutif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap 43 pertuduhan menerima rasuah hampir RM450,000 bagi meluluskan pinjaman peribadi melebihi kelayakan pemohon.
Tertuduh Kamarulzaman Zainudin, Hafiz Farhan Nor Izam dan Najmi Muaz Pekan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Tambah Abdul Hakim Hafizi, rasuah tidak dapat dibasmi sepenuhnya hanya dengan penguatkuasaan undang-undang.
Ujarnya, ia memerlukan kuasa moral rakyat untuk menjadi pengimbang kepada kuasa pentadbiran.
“Maka, PPN mencadangkan penubuhan Majlis Pemantau Warga sebagai badan pemantau awam yang bebas dan berautoriti. Majlis ini akan menghimpunkan tokoh akademik, belia, profesional dan masyarakat sivil untuk menilai laporan integriti kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Ia menjadi saluran suara rakyat yang berwibawa, pusat dialog moral antara rakyat dan kerajaan serta simbol tanggungjawab bersama dalam membanteras rasuah.
“Dengan adanya Majlis Pemantau Warga, akauntabiliti dapat tumbuh dari bawah ke atas, menjadikan integriti bukan hanya tugas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi amanah seluruh rakyat,” katanya.
Menurut beliau, rasuah bukan sekadar jenayah undang-undang, ia adalah pengkhianatan moral dan kehancuran budaya.
Katanya, perubahan sebenar hanya dapat dicapai apabila masyarakat mula melihat rasuah sebagai kehinaan, bukan sekadar kesalahan.
“PPN menegaskan bahawa pendidikan integriti mesti dimulakan sejak di bangku sekolah, disertai dengan kempen nasional menentang rasuah sebagai tindakan cinta negara. Individu yang jujur perlu dihargai sebagai wira integriti, bukan hanya dihormati dalam diam.
“Budaya kerja juga perlu berubah, daripada takut dikesan kepada ikhlas berkhidmat dan berjiwa negarawan. Pegawai awam yang berintegriti tinggi bukan sahaja menjalankan tugas, tetapi menjaga maruah bangsa melalui kejujuran dan keberanian moral,” katanya.