MELAKA - Seorang pekerja kilang yang perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar isteri ke tempat kerja di Tengkera, maut selepas motosikal ditunggangi gagal mengelak sebuah kereta yang mengubah haluan secara mengejut dalam kemalangan di Lebuh AMJ Semabok Perdana, di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian jam 8.35 pagi itu, mangsa, Nur Hafiz Mizal, 21, yang merupakan bapa kepada seorang bayi berusia dua bulan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RSX ditunggang mangsa dan sebuah kereta Perodua Alza dipandu seorang wanita yang juga guru KAFA berusia 38 tahun.
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta yang datang dari arah lampu isyarat Bukit Piatu menghala ke Jalan Taman Semabok Perdana telah mengubah haluan secara mengejut.
“Akibatnya, penunggang motosikal yang datang dari arah belakang kiri tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan kiri kereta sebelum terjatuh,” katanya menerusi kenyataan.
Christopher berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.
Ujarnya, pemandu kereta terbabit pula dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Melaka Tengah untuk ujian air kencing dan didapati negatif.
“Kedua-dua kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan Puspakom dan polis masih mengesan saksi bebas di lokasi kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.