JOHOR BAHRU – Seorang suami yang berusaha menjejaki isteri serta lima anaknya yang sudah lama terpisah akhirnya membawa kepada penemuan enam rangka manusia dipercayai dibunuh, dalam sebuah rumah terbiar yang terbakar di kawasan kebun kelapa sawit, Kangkar Pulai, Skudai, awal bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pada 9 Januari lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 48 tahun yang sedang mencari isteri serta anak-anaknya yang dikatakan tinggal di sebuah rumah dalam kebun kelapa sawit di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pengadu kemudiannya menemui rangka manusia di lokasi tersebut sebelum membuat laporan polis pada kira-kira jam 1.28 tengah hari.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati rangka manusia ditemui di dalam sebuah rumah yang telah terbakar di kawasan kebun kelapa sawit tersebut,” katanya.
Beliau berkata, hasil bedah siasat oleh pasukan forensik mengesahkan enam rangka manusia ditemui, terdiri daripada dua dewasa iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun dan seorang wanita berusia 35 tahun yang mempunyai hubungan kenalan.
“Turut dikenal pasti ialah anak kepada wanita berkenaan, iaitu seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, dua kanak-kanak perempuan berusia lima dan sembilan tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun,” katanya.
Menurut Ab Rahaman, bedah siasat turut mengesahkan mayat dipercayai dibakar kira-kira tiga bulan sebelum penemuan.
Susulan siasatan, pada 21 Januari lalu, polis menahan empat individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita, kesemuanya warganegara Malaysia berusia antara 19 hingga 35 tahun di sekitar kawasan Iskandar Puteri bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek mempunyai hubungan sebagai rakan penagih. Semakan turut mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Menurut beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara Johor dan keputusan dibuat untuk mendakwa dua suspek lelaki di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dua lagi suspek dibebaskan dengan bon jaminan polis dan akan dipanggil sebagai saksi.
“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu. Jika sabit kesalahan, hukuman boleh dikenakan adalah hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan serta prosiding mahkamah.