Fulham selamat dari kejutan Wycombe

Iklan
Lecomte penyelamat Fulham di Adams Park. Foto: Agensi

KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), Fulham bernafas lega selepas hanya mampu menyingkirkan Wycombe Wanderers menerusi penentuan penalti untuk mara ke suku akhir Piala Liga Inggeris, sekali gus mengelak daripada dimalukan pasukan Liga Satu itu di Stadium Adams Park.

Aksi di hadapan 9,709 penonton itu berakhir 1-1 selepas 90 minit sebelum skuad bimbingan Marco Silva menoktahkan kemenangan 5-4 menerusi sepakan penentu Issa Diop, hasil ketangkasan penjaga gol Benjamin Lecomte yang menyelamatkan tiga sepakan penalti lawan.

Iklan
Iklan

Tuan rumah mendahului seawal minit keempat menerusi bekas penyerang Fulham, Cauley Woodrow, yang melepaskan rembatan deras untuk menewaskan Lecomte.

Woodrow yang pernah bersama Fulham selama lapan tahun sebelum berhijrah pada 2019 tidak meraikan jaringannya, namun gol itu cukup untuk menggugat rentak awal pelawat.

Iklan

Selepas beberapa percubaan tidak menjadi, Fulham menyamakan kedudukan pada minit ke-48 menerusi jaringan pertama Josh King di pentas senior.

Penyerang Norway itu bijak menyambar bola di tiang hasil sepakan sudut untuk menghidupkan semula peluang pasukannya.

Iklan

King dan pemain baharu, Kevin tampil cergas mengatur serangan, namun percubaan berterusan tidak cukup tajam untuk menguji penjaga gol Wycombe, Will Norris, dengan hanya lima percubaan tepat keseluruhan.

Dalam penentuan penalti, Fulham menyempurnakan empat sepakan awal sebelum Ryan Sessegnon dan Jonah Kusi-Asare dinafikan Norris.

Namun Lecomte menjadi penyelamat apabila menggagalkan sepakan Ewan Henderson, Fred Onyedinma dan Donnell McNeilly, membuka ruang buat Diop menamatkan debaran dengan sepakan kemenangan yang memastikan Fulham terus hidup dalam saingan.

Sementara itu, pengendali Fulham, Marco Silva tidak menafikan pasukan pelawat masih bergelut untuk menemui keyakinan selepas rentetan keputusan buruk.

“Kami tahu kejutan boleh berlaku dalam saingan ini jika pendekatan tidak serius. Gol mereka satu-satunya percubaan tepat, dan kami sepatutnya bertahan lebih baik.

“Separuh masa pertama kami kurang intensiti, tetapi selepas itu kami cipta tujuh atau lapan peluang. Saya mahu pemain terus positif. Kami akan jadi lebih kuat apabila semua pemain kembali,” ujarnya.

Kemenangan itu bukan sekadar mengembalikan keyakinan selepas empat kekalahan berturut-turut, tetapi turut menyalakan semula impian Fulham memburu trofi utama pertama dalam sejarah 146 tahun kelab itu.