KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung insiden membakar suar membabitkan segelintir penyokong pasukan bola sepak Selangor FC di Terengganu, Ahad lepas.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, tiada pihak akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut.
"Selagi mana masih dalam siasatan, tidak akan ada yang terlepas daripada hukuman. Jadi saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat terlebih dahulu. Saya juga masih menunggu keputusan dan juga hasil siasatan insiden itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Semalam, 33 penyokong Selangor FC direman bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang berlaku di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu.
Kejadian kira-kira 6.30 petang itu berlaku sebelum perlawanan Liga Super antara Terengganu FC dan Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mereka antara kira-kira 400 penyokong yang ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, malam tadi, bagi menjalani saringan air kencing. - Bernama