Strategi berniaga dengan naga

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan mengadakan pertemuan singkat dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Kuala Lumpur. Foto Pejabat Perdana Menteri

PERJANJIAN Perdagangan Timbal Balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai di Kuala Lumpur Ahad lalu menandakan satu langkah besar dalam haluan ekonomi dan diplomasi negara.

Di atas kertas, lebih 1,700 produk Malaysia diberi akses ke pasaran AS dengan kadar tarif di bawah 19 peratus hingga sifar peratus, suatu angka yang kelihatan menguntungkan.

Iklan
Iklan

Namun di sebalik angka manis itu, Malaysia sebenarnya perlu berbelanja besar untuk mendapatkan kadar tarif timbal balas 19 peratus berbanding 25 peratus ditetapkan AS sebelum ini.

Antara syarat tersiratnya, Malaysia komited membeli pesawat Boeing, gas asli cecair (LNG), arang batu, serta pelbagai peralatan digital dan farmaseutikal AS yang keseluruhannya dianggarkan mencecah AS$240 bilion (RM1.02 trilion).

Iklan

Dalam bahasa mudah, untuk menikmati cukai rendah, kita perlu menjadi pelanggan utama mereka.

Sebahagian pihak melihat perjanjian ini berat sebelah, kerana Malaysia terlalu banyak memberi termasuk bersetuju tidak mengenakan kuota eksport nadir bumi dan membuka pasaran pertanian kepada produk AS tanpa dikenakan cukai SST.

Iklan

Namun dalam dunia perdagangan moden, tiada perjanjian yang benar-benar seimbang. Yang penting ialah kebijaksanaan mengurus risiko, memastikan setiap konsesi yang diberi mendatangkan pulangan strategik kepada negara.

Inilah maksud kiasan berniaga dengan naga iaitu berdagang dengan kuasa besar tanpa terbakar dek api atau tenggelam di bawah sayapnya.

Malaysia tahu naga itu ada dua: satu di Timur bernama China, satu di Barat bernama Amerika. Kedua-duanya membawa peluang, tetapi juga bahaya jika terlalu condong.

Langkah Putrajaya menandatangani perjanjian dengan Washington sambil mengekalkan hubungan erat dengan Beijing memperlihatkan strategi realistik: berkecuali, berprinsip, dan berpijak di bumi sendiri.

Asalkan kawalan ke atas sumber nadir bumi, royalti, dan dasar tempatan kekal di tangan Malaysia, kita belum tunduk, cuma menyusur arus global dengan lebih berhati-hati.

Pada masa sama, kerajaan mesti menjawab segala persoalan dibangkitkan berhubung perjanjian itu secara tulus dan bertanggungjawab.

Akhirnya, seni berniaga dengan naga menuntut keberanian, kebijaksanaan dan keseimbangan.

Bukan tunduk, tetapi tahu bila hendak membengkok, bila hendak menegak agar api naga menyala menerangi, bukan membakar rumah sendiri.