223 pangkalan haram di Sungai Golok diroboh secara berperingkat

Iklan
Mohd Yusoff (dua dari kanan) dan Nik Raisnan (tiga dari kanan) turun padang meninjau kerja-kerja perobohan di pangkalan haram Gergaji di Rantau Panjang - Foto:SINAR HARIAN /HAZELEN LIANA KAMARUDIN

RANTAU PANJANG - Aktiviti perobohan kesemua 223 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat sehingga ke Jeli dimulakan pada Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, perobohan tersebut dijangka mengambil masa dua bulan dan akan dilakukan secara berperingkat.

Iklan
Iklan

"Hari ini adalah hari sebenar di mana projek rintis yang dijanjikan selama ini dilaksanakan.

"Kita mulakan dengan perobohan pangkalan haram Gergaji dan MCA," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.

Iklan

Sebelum itu, beliau turun padang meninjau kerja-kerja perobohan di Pangkalan Haram Gergaji di sini.

Perobohan tersebut dijangka akan mengambil masa dalam tempoh dua bulan dan dilakukan secara berperingkat-peringkat. - Foto:SINAR HARIAN /HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Iklan

Hadir sama ialah Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan, Nik Raisnan Daud.

Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan 223 pangkalan haram itu, 216 binaan berada di atas tanah kerajaan manakala tujuh lagi di atas tanah persendirian.

Beliau berharap agar penduduk di kawasan sempadan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan operasi berjalan lancar.

Mohd Yusoff memberitahu, tindakan ini merupakan usaha kerajaan dalam membendung aktiviti jenayah rentas sempadan.

"Saya telah bercakap hampir setahun mengenai perkara ini, dan masyarakat kini sudah memahami bahawa tujuan sebenar kerajaan merobohkan pangkalan haram adalah untuk menangani jenayah rentas sempadan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau percaya pihak berkuasa di Thailand sudah mengetahui mengenai pelaksanaan kerja-kerja merobohkan pangkalan haram tersebut.