HULU SELANGOR – Seramai 31 orang nyaris maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan dua buah lori di Kilometer 433 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 5.12 pagi.
"Seramai 16 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa serta bantuan BBP Rawang bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh lapan kilometer," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ahmad Mukhlis berkata, setibanya di lokasi sembilan minit kemudian, pihaknya mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres, sebuah lori 10 tan jenis bonded dan sebuah treler.
"Seramai 14 lelaki, lima wanita, tujuh kanak-kanak serta dua pemandu berada di dalam bas berkenaan ketika kejadian berlaku.
"Pemandu bas, seorang lelaki berusia 39 tahun, didapati tersepit dan mengalami kecederaan di bahagian kaki sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba pada jam 6.05 pagi," katanya.
Menurutnya, beberapa penumpang lain dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
"Pemandu lori bonded 10 tan turut tersepit, namun status kecederaannya masih belum dikenal pasti ketika kerja-kerja menyelamat dijalankan.
"Kelindan lori berkenaan yang juga lelaki berusia 39 tahun dilaporkan mengalami cedera ringan, manakala pemandu treler turut cedera di bahagian leher," katanya.
Menurutnya, kesemua mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk rawatan lanjut.