KUALA LUMPUR – Semua usaha di bawah Pelan Damai Gaza yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump perlu dipantau secara teliti bagi memastikan matlamat menamatkan konflik di Palestin benar-benar tercapai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN menyambut baik pelan komprehensif tersebut yang disifatkan sebagai langkah awal penting dan kritikal ke arah menghentikan kekejaman serta jenayah genosid di Gaza.
Iklan
Iklan
“Bagaimanapun, kami menegaskan bahawa usaha ini perlu diteruskan dan dipantau dengan rapi agar keamanan yang berkekalan dapat dicapai, selain memastikan wujudnya penyelesaian politik yang inklusif, adil dan lestari untuk Palestin,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20, di sini pada Isnin.
Pada September lalu, Trump mengumumkan pelan damai yang mengandungi 20 perkara bagi menamatkan perang di Semenanjung Gaza yang kini masih terkepung.
Pelan tersebut merangkumi pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran dengan sejumlah tahanan Palestin, pelucutan senjata sepenuhnya Hamas, serta pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin yang bebas daripada pengaruh politik bagi mentadbir wilayah berkenaan.
Terdahulu, dalam pertemuan singkat antara Anwar dan Trump sebelum Presiden AS itu berlepas ke Tokyo, Jepun pagi tadi, Perdana Menteri sempat menyatakan penghargaan terhadap peranan AS dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) dan Pelan Damai Gaza.
Beliau turut menyifatkan inisiatif tersebut sebagai sinar harapan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan.