Pendidikan awal asas pembentukan modal insan berkualiti

Iklan
Program audio siar dihoskan oleh Anim Ezati (kiri) dan Nor Najihah Sukor (tengah) menampilkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Mohd Hanafiah Man.

PUTRAJAYA - Pendidikan awal kanak kanak merupakan pelaburan strategik negara yang memberikan pulangan jangka  panjang dalam pembentukan modal insan  berkualiti, sekali gus menjadi asas kepada  masa depan negara lebih gemilang.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan  Masyarakat (Kemas), Datuk Mohd Hanafiah  Man berkata, tempoh awal kehidupan  kanak-kanak ialah fasa paling kritikal bagi membentuk asas kognitif, emosi, sosial dan  zikal seseorang individu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pendidikan awal yang  berkualiti bukan sahaja membentuk sahsiah,  nilai murni dan kemahiran asas sejak kecil,  malah berupaya mengurangkan jurang  pencapaian antara kawasan bandar dengan  luar bandar.

“Pelaburan dalam pendidikan awal  memberikan pulangan tinggi kepada negara  dalam jangka panjang termasuk pencapaian  akademik lebih baik, peningkatan  produktiviti serta pengurangan masalah  sosial.

Iklan

“Hal berkenaan juga membantu  pemerkasaan kumpulan rentan seperti  keluarga berpendapatan rendah (B40) dan  kanak-kanak berkeperluan khas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi  tetamu episod pertama Podcast  Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah  (KKDW): Cerita Desa Kita yang bertemakan  Asas Awal, Masa Depan Gemilang. Podcast itu membincangkan inisiatif  KKDW melalui Kemas untuk memperkasakan  pendidikan awal kanak-kanak termasuk  golongan berkeperluan khas.

Iklan

Beliau turut menjelaskan, pelaksanaan  dasar pada peringkat akar umbi Kemas  diterjemahkan melalui penyediaan program  taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) dan  taman asuhan kanak-kanak (Taska) di  seluruh negara khususnya di kawasan luar  bandar.

Malah menurutnya, tabika khusus untuk  kanak-kanak autisme turut dilaksanakan hasil perbincangan pihak berkepentingan  bersama dengan Timbalan Perdana Menteri,  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku  Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Kami ambil spektrum mild autism. Hasil daripada perbincangan itu, keputusannya  kami buat tiga tabika rintis di Melaka yang  prosesnya bukan mudah.

“Kita harus mempersiapkan guru-guru menerusi penganjuran program dengan  kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia  melibatkan kursus kepada tenaga pengajar  sementara mempersiapkan kelas-kelas yang  sesuai dengan anak-anak mild autism.

“Kena ada ruangan tantrum, peralatan  dan bahan bantu mengajar sesuai untuk  membina karakter diri kerana matlamat  tabika autism adalah untuk anak-anak ini  boleh mengurus diri sendiri,” jelasnya.

Tabika Tunas Istimewa / Autisme

Beliau berkata, tabika tersebut kini telah  dimulakan di seluruh negara dengan setiap  negeri mempunyai satu kelas kecuali tiga di  Melaka, tiga di Wilayah Persekutuan dan  dua di Perak.

Menurutnya, permohonan untuk  memasuki tabika tersebut kini mencecah  hampir 300 orang namun atas faktor  seorang guru tidak dibenarkan mengajar  lebih tujuh orang, maka pihaknya hanya  mampu menampung 150 murid buat masa  ini.

“Bagaimanapun bermula pada suku  kedua tahun ini, kami akan memulakan  proses persiapan, latihan guru dan   bangunan  fizikal. 

“Insya-ALLAH menjelang tahun 2027,  setiap daerah melibatkan 132 daerah di  Malaysia, akan ada sebuah tabika autism,”  katanya.

Beliau menjelaskan, pendekatan  pembelajaran di Tabika Tunas Istimewa  bersifat individualistik dan fleksibel,  disesuaikan dengan keperluan setiap murid yang merangkumi rutin harian konsisten,  penggunaan bahan bantu mengajar mesra  autisme serta elemen terapi bermain, komunikasi visual dan aktiviti sensori.

Oleh itu, ibu bapa dan komuniti dapat memperkukuh peranan melalui pendekatan kolaboratif melibatkan sesi taklimat, bengkel keibubapaan serta penglibatan komuniti dari segi sokongan moral, fasiliti dan kepakaran.

“Kami ada matlamat untuk ekosistem  pendidikan awal autisme agar mereka yang  belajar di tabika ini tidak dihantar ke kelas  Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI),  tetapi terus kepada pendidikan inklusif.

“Ini menjadi cabaran kepada kami dan  dalam perbincangan dengan Kementerian  Pelajaran Malaysia, hasrat ini memang  dinyatakan.

“Biarlah kami  mengambil  tanggungjawab untuk mendidik. Apabila  mereka memasuki tahun satu, anak-anak  ini tidak pergi ke PPKI. Kami mahu agar  mereka ke saluran pendidikan inklusif yang  lebih terbuka,” ujarnya.

Tabika SmartClassroom@Kemas

Mohd Hanafiah menjelaskan, tabika  pintar pula bertujuan untuk memperkasakan  kaedah pengajaran prasekolah agar lebih  interaktif, moden dan selari dengan  perkembangan teknologi semasa.

Inisiatif tersebut menurutnya, bertujuan  untuk membantu melahirkan kanak-kanak  celik digital sejak usia awal serta membina  kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi,  pemikiran kritis dan kreativiti.

Beliau berkata, penggunaan teknologi  seperti papan pintar, aplikasi pembelajaran  dan video interaktif mampu menjadikan  pembelajaran lebih menyeronokkan,  meningkatkan tumpuan serta motivasi  kanak-kanak. Menurutnya, pendekatan itu amat  relevan untuk konteks luar bandar kerana  membawa teknologi moden terus ke kawasan yang kurang mendapat akses  kepada pendidikan berkualiti, sekali gus  merapatkan jurang pendidikan antara  bandar dengan desa.

Sementara itu, untuk  perancangan  jangka panjang, beliau memaklumkan  bahawa KKDW melalui Kemas akan terus  memperluas capaian pendidikan awal  melalui penambahan bilangan Tabika dan  Taska, meningkatkan kualiti guru, memperkasakan integrasi teknologi serta  mengukuhkan kerjasama bersama dengan  ibu bapa dan komuniti.

“Pendidikan awal ialah asas penting  pembangunan insan yang holistik dan inklusif, perlu digerakkan secara bersama, demi memastikan generasi masa depan mendapat permulaan terbaik,” katanya.