TELUK INTAN – Seramai 29 mangsa daripada enam keluarga hilang tempat berteduh selepas enam buah rumah didiami mereka di Jalan Mak Intan, Kampung Terengganu di sini musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.
Kebanyakan mangsa hanya mampu melihat kediaman mereka dijilat api selepas gagal menyelamatkan barangan penting termasuk wang tunai, barangan kemas serta dokumen peribadi.
Salah seorang mangsa, R Logeswary, 32, berkata, ketika kejadian, dia dan ahli keluarga tiada di rumah kerana keluar melawat saudara-mara sempena sambutan Deepavali.
"Kami dapat panggilan daripada jiran maklumkan rumah terbakar. Bila sampai, api sudah marak dan kami tak mampu buat apa-apa selain menangis.
"Wang tunai lebih RM18,000 hangus bersama barang kemas dan mesin basuh yang baru dibeli sebulan lepas. Duit itu sebahagiannya gaji saya dan adik, ada juga duit simpanan, duit sekolah anak-anak dan juga duit untuk beli hadiah hari lahir ibu Disember ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Bandaran Teluk Intan di sini pada Ahad.
Logeswary berkata, seramai 10 ahli keluarga termasuk ibu, adik serta anak saudara tinggal bersama di rumah berkenaan dan mereka kini menumpang sementara di PPS berkenaan.
Mangsa lain, S Jaya, 39, pula berkata, dia dan anak perempuannya, T Rita, 18, terselamat selepas terjaga daripada tidur apabila terdengar bunyi bising dari luar rumah.
"Saya ibu tunggal, tinggal berdua dengan anak. Suami sudah meninggal lapan tahun lalu. Bila dengar bunyi bising, kami terus keluar rumah dan nampak api dah marak.
“Mujur motosikal sempat diselamatkan, tapi barang lain semua hangus. Saya kerja di kedai makan saja, jadi harap kerajaan bantu kami supaya dapat rumah sewa yang mampu bayar,” katanya sebak.
Sementara itu, T Kalaivani, 44, yang menghuni rumah pertama di deretan tersebut berkata, ketika kejadian dia bersama tujuh ahli keluarga baru hendak tidur sebelum ternampak cahaya api dari rumah tengah.
"Lepas nampak api itu kami terus keluar dan cuba siram air bantu padamkan api, tapi dalam sekelip mata ia merebak ke semua rumah. Hanya motosikal di luar saja sempat diselamatkan,” katanya yang sudah menetap di kawasan itu sejak berusia 18 tahun.
Dalam pada itu, jiran mangsa, Muhammad Ridzuan Abdullah, 29, berkata, dia bersama penduduk kampung cuba membantu memadamkan api menggunakan air paip sebelum bomba tiba di lokasi.
"Saya ketika itu baru balik tengok bola bila nampak api dah marak. Kami guna getah panjang sambung dari bilik air, jirus air supaya api tak merebak ke rumah lain.
“Ramai jiran datang tolong, sekitar jam 2 pagi baru api berjaya dipadam sepenuhnya,” katanya.
Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pada jam 12.40 tengah malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.04 pagi, Ahad.
Katanya, sepasukan anggota dan jentera dari BBP Teluk Intan digerakkan ke lokasi kejadian dengan turut dibantu BBP Hutan Melintang bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan dan PBS Batu 12 bagi memadamkan kebakaran.