KUALA LUMPUR – Keputusan melarang penganjuran perhimpunan Gerakan Anti Rumah Ibadat Haram (GARAH) dibuat selepas pertimbangan menyeluruh berdasarkan risikan keselamatan yang dijalankan pihak polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, larangan itu turut mengambil kira keperluan mengekalkan kestabilan negara, termasuk ketika Malaysia menerima kehadiran tetamu negara, selain memastikan tidak berlaku sebarang gangguan terhadap ketenteraman awam.
“Antara pertimbangan utama ialah memastikan keadaan negara kekal stabil dan keselamatan awam sentiasa terpelihara,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada Ahad.
Fadil menegaskan, polis memberi amaran tegas supaya mana-mana pihak tidak meneruskan perhimpunan yang menyentuh isu sensitif termasuk agama dan kaum kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan serta menjejaskan keselamatan masyarakat.
Beliau berkata, sebarang pandangan atau cadangan berkaitan pembinaan rumah ibadat seharusnya disalurkan melalui saluran yang betul dan berlandaskan undang-undang, bukannya melalui perhimpunan jalanan.
“Sekiranya terdapat pembinaan rumah ibadat di atas tanah yang tidak dibenarkan dan pihak polis menerima perintah mahkamah, kami akan memberikan kerjasama penuh bagi tujuan penguatkuasaan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Tambah beliau, polis tidak mahu sebarang unsur hasutan atau ancaman terhadap keselamatan awam tercetus daripada perhimpunan sedemikian.
Dalam perkembangan sama, Fadil mengesahkan terdapat beberapa tangkapan berkaitan kes hasutan melalui paparan di media sosial, termasuk TikTok, yang dipercayai boleh menggugat ketenteraman awam.
Katanya, siasatan mendapati wujud unsur hasutan dalam beberapa kes terbabit dan tangkapan dibuat mengikut Seksyen 41 Kanun Keseksaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa keputusan untuk tidak membenarkan perhimpunan GARAH dibuat selepas perbincangan bersama pihak penganjur, selain mengambil kira maklum balas daripada semua pihak berkaitan.
“Siasatan telah dibuka dan tindakan lanjut sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang perhimpunan yang menyentuh isu sensitif kerana ia boleh menjejaskan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat.
“Keselamatan dan kesejahteraan negara adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya terletak di bahu pihak penguat kuasa,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan penyelaras perhimpunan GARAH tetap berhasrat meneruskan perhimpunan berkenaan walaupun polis memutuskan untuk tidak membenarkannya atas faktor keselamatan awam.
Perkara itu disuarakan oleh penyelaras perhimpunan, Zamri Vinoth, yang menegaskan perhimpunan tersebut dirancang berlangsung di perkarangan Kompleks Sogo pada jam 8 malam.
Penganjur mendakwa perhimpunan itu bersifat aman dan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perhimpunan Aman, serta menyatakan tanggungjawab polis untuk memastikan keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung.
Bagaimanapun, Fadil menjelaskan bahawa polis turut menerima surat bantahan daripada pemilik premis Kompleks Sogo, Pertama Kompleks serta beberapa premis lain di sekitar lokasi perhimpunan yang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan dan orang awam.