Dua beradik dikejar lelaki bersenjata pisau di pusat beli-belah

Iklan
Polis berjaya menahan suspek dalam sebuah kereta dan merampas sebilah pisau bagi membantu siasatan.

MELAKA - Dua beradik perempuan berdepan detik cemas apabila dikejar seorang lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan pisau di sebuah pusat beli-belah di bandar ini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar 9.30 malam itu, mangsa berusia 21 tahun merupakan seorang pelajar universiti bersama adik perempuannya berusia 19 tahun dikatakan dimarahi dan dijerkah oleh suspek berusia 50 tahun tanpa sebarang sebab ketika berada di kawasan parkir.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati suspek tiba-tiba menghampiri mangsa sambil memegang sebilah pisau, menyebabkan kedua-duanya berasa takut.

“Suspek dipercayai memarahi serta menjerit ke arah mangsa dan adiknya sebelum bertindak mengejar mereka.

Iklan

“Berikutan itu, mangsa dan adiknya melarikan diri masuk ke dalam pusat beli-belah tersebut bagi menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, suspek bagaimanapun terjatuh semasa kejadian dan gagal mengejar mangsa hingga ke dalam pusat beli-belah.

Iklan

“Tiada sebarang kecederaan dialami oleh mangsa dan adiknya. Laporan polis dibuat demi keselamatan diri serta kebimbangan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan membawa kepada penahanan suspek selain turut merampas sebilah pisau, sehelai baju dan sehelai seluar bagi membantu siasatan.

“Suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana menyangka mangsa adalah seorang wanita warga Vietnam yang dikatakan telah menipunya sehingga mengalami kerugian kira-kira RM10,000.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Tambah beliau, pihak polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan parkir dan pintu masuk pusat beli-belah berkenaan bagi mengesan pergerakan suspek.