PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa kritikan terhadap dirinya dalam dunia bola sepak bukan sesuatu yang baharu.
Menurut baginda yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), perkara itu tidak pernah mematahkan semangat baginda untuk terus berjuang demi kemajuan sukan itu di negara ini.
“Saya dah dipersalahkan dalam bola sepak 13 tahun dah. 'This is nothing new for me'.
“Dah 13 tahun macam-macam saya lalui dalam bola sepak, tak pernah ada satu kali pun ia menjatuhkan semangat saya.
"Ia datang daripada rasa cinta saya terhadap sukan itu sendiri, terhadap perkembangan bola sepak. Itulah 'passion' saya, tak kira di peringkat domestik atau antarabangsa,” titah baginda pada sidang akhbar.
Baginda turut menegaskan bahawa kritikan bukan sesuatu yang menggugat tumpuannya, sebaliknya menilai lebih kepada siapa yang benar-benar memberi sumbangan terhadap pembangunan bola sepak negara.
“Bukankah saya dah dikritik begitu lama? Semua portal sukan, semua wartawan dah kritik saya daripada sebelum saya jadi presiden, jadi presiden dan sampai sekarang. Tapi saya tak pernah tengok ada orang masuk penjara sebab kritik saya.
“Kalau dalam media sosial, boleh dikatakan berjuta yang kritik saya. Tak ada masalah. Siapa saja boleh kritik. Tapi seperti saya kata tadi, saya tidak berminat melayan orang yang mengkritik. Saya lebih berminat melihat siapa yang memberi sumbangan kepada bola sepak tanah air,” titah baginda.
Menurut Tunku Ismail lagi, fokus utama baginda sentiasa tertumpu kepada usaha mencari penyelesaian untuk memperbaiki mutu bola sepak negara.
“Saya nak cari penyelesaian, sentiasa cari jalan macam mana nak memperbaiki. Orang yang mengkritik ni, bukan nak persoalkan pencapaian mereka, tapi saya nak tahu apa sumbangan mereka kepada bola sepak Malaysia. Sebab cakap memang senang, tapi apa yang mereka dah buat untuk bola sepak negara? Itu pandangan saya lah,” titah baginda.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Antara pemain yang terbabit ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
FAM turut dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta sementara setiap pemain didenda RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.