Ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan disyaki terlibat pergaduhan

Iklan
Tangkap layar video tular di media sosial berhubung insiden pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Jerteh, Besut pada Jumaat. (Gambar kecil: Azamuddin)

BESUT - [DIKEMAS KINI] Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk antara lapan individu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan yang tular menerusi rakaman siaran langsung di media sosial pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad berkata, kesemua suspek berusia antara 21 hingga 40 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan jam 1.32 pagi pada Sabtu berhubung kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11 malam di hadapan sebuah rumah di Jerteh, di sini.

"Berdasarkan laporan diterima, seorang lelaki mendakwa dipukul sekumpulan individu ketika sedang membuat siaran langsung (live) menggunakan telefon bimbit di hadapan rumah suspek.

Iklan

"Ketika kejadian, mangsa dikatakan datang ke rumah suspek untuk berbincang mengenai salah faham yang timbul antara mereka," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, sebaik tiba di hadapan rumah berkenaan, mangsa enggan masuk ke kawasan rumah seperti diminta suspek, menyebabkan berlaku pertengkaran dan kekecohan.

Iklan

"Beberapa ahli keluarga suspek turut keluar dari rumah dan berlaku pergelutan antara mereka.

"Dalam kejadian itu, telefon bimbit yang digunakan mangsa untuk membuat siaran langsung turut diambil oleh salah seorang ahli keluarga suspek," katanya.

Azamuddin berkata, mangsa mengalami kecederaan termasuk lebam di belakang kepala, siku kanan dan kiri, jari kiri serta bahagian belakang badan akibat bergelut dan terjatuh.

Selain itu, katanya kenderaan milik mangsa turut didakwa mengalami kerosakan.

"Kesemua individu terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Sabtu bagi mendapatkan perintah reman.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian tersebut kerana boleh menjejaskan siasatan polis.

"Sebarang maklumat berkaitan suspek boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes (Insp. Mohamad Effie Ezral Bin Mohd Izham) di talian 09-6956222 sambungan 5913," katanya.