Selepas RM15.5 bilion dipulihkan, apa seterusnya untuk tadbir urus Malaysia?

Iklan
RM15.5 bilion berjaya dipulihkan dalam tempoh dua tahun terakhir. Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Selepas Kerajaan Madani berjaya memulihkan RM15.5 bilion dana awam hasil penyelarasan antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan agensi penguatkuasaan dalam tempoh dua tahun terakhir, fokus beralih pula kepada usaha untuk mengekalkan momentum integriti.

Timbul persoalan dalam kalangan masyarakat tentang bagaimana kerajaan ingin memastikan ketelusan menjadi amalan wajib di setiap kementerian dan agensi, bukan sekadar budaya bermusim.

Iklan
Iklan

Tidak terhenti di situ, apa yang boleh dilakukan dalam konteks pengukuhan reformasi tadbir urus supaya sistem menjadi lebih berdaya tahan terhadap jenayah rasuah dan salah guna kuasa?

Berdasarkan Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keupayaan SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bakal ditingkatkan pada tahun depan.

Iklan

Ia merangkumi penyediaan latihan dan perolehan aset dengan peruntukan lebih RM700 juta.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pelaksanaan lain yang wajar dipertimbangkan dalam usaha menuntaskan ketirisan yang kian lama terbiar hingga merencatkan integriti.

Iklan

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Norhayati Nordin, Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025, Akta Pendanaan Politik dan Akta Kebebasan Maklumat mesti dilaksanakan dengan berkesan.

NORHAYATI

Beliau berkata, pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya juga kritikal serta wajib dibuat supaya persepsi terhadap konflik kepentingan boleh ditangani dengan baik.

Difahamkan, perkara tersebut kini berada di peringkat libat urus bersama semua pihak berkepentingan.

Ujar Norhayati, pelaksanaan akta dan pemisahan kuasa itu faktor penyumbang kepada pengukuhan integriti dalam perkhidmatan pasca kejayaan memulihkan dana awam.

"Kita nak tengok kedua-dua perkara ini berlaku supaya kepercayaan rakyat sentiasa terjamin, begitu juga apabila #RasuahBusters sentiasa bercakap tentang pemerkasaan institusi iaitu transformasi dalam SPRM.

"Ini antara hal yang penting juga kerana kewibawaan agensi berkenaan perlu dilihat telus oleh masyarakat. Kebebasan pun penting.

"Menyentuh soal 'whistleblower' adakah ia efektif atau sebaliknya, kita sudah pinda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711). Tetapi bagi #RasuahBusters, kami percaya ombudsman juga perlu ada sebagai satu agensi yang boleh menerima aduan dan bebas serta adil dalam tindakan," katanya kepada Sinar Harian.

Hasil rampasan dan kutipan penalti sebanyak RM15.5 bilion bagi 2024 dan 2025 melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk SPRM di bawah pimpinan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Apa yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam tempoh dua tahun lalu untuk memperkukuh mekanisme semak dan imbang, antaranya Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) - Menjadikan Menteri Kewangan bertanggungjawab kepada Parlimen serta menetapkan sasaran fiskal jangka sederhana bagi memperkukuh kedudukan fiskal kerajaan.

Rang Undang-Undang Perolehan (Procurement Bill)- Menetapkan garis panduan yang jelas bagi urusan perolehan, menyediakan tribunal untuk membolehkan mana-mana pihak mengemukakan laporan terhadap menteri berhubung pelanggaran prosedur perolehan telus, serta memberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan dalam penganugerahan tender.

Norhayati berkata, kerajaan juga boleh memanfaatkan integrasi teknologi seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI), blockchain serta big data analytics untuk menjejak dana awam secara nyata.

Rakyat menikmati hasil menerusi pemberian subsidi.

Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2026, RM53 juta disediakan menerusi Geran Pecutan Digital Malaysia bagi mempercepat pertumbuhan dan penerimagunaan blockchain, AI, pengkomputeran kuantum serta pengesanan deepfake.

Ditanya berhubung penglibatan masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memantau belanjawan mahupun projek awam, Norhayati berpendapat bahawa kedua-duanya mampu memainkan peranan dan menyumbang idea dalam rundingan prabelanjawan.

“Walaupun rakyat digalakkan memberi maklum balas, saya percaya NGO juga berhak menyumbang input dan pandangan bagi mengenal pasti risiko korupsi, ketirisan atau penyelewengan dari awal.

“Mereka boleh mendesak supaya suatu kerangka perolehan atau tindakan boleh diambil secara telus dan menyeluruh. Barulah keterbukaan dan ketelusan itu terlihat sangat jelas,”j kata Norhayati lagi.

Akauntabiliti konsisten pelaburan jangka panjang negara

Dari perspektif tadbir urus, pakar perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpandangan, akauntabiliti yang konsisten adalah bentuk pelaburan jangka panjang terhadap keyakinan pasaran.

WAN MOHD FAUZI

Ini selari dengan kenyataan Anwar tempoh hari bahawa RUU Perolehan Kerajaan, Akta Kewangan Awam dan FRA serta pindaan Akta Audit membantu meningkatkan keyakinan pelabur, melonjak Indeks Daya Saing Negara hingga 11 anak tangga, mengukuhkan nilai ringgit dan menjana pekerjaan baharu buat rakyat.

Dalam masa sama, ia juga menurunkan kadar pengangguran kepada tiga peratus, terendah dalam tempoh sedekad.

Menelusuri ekonomi moden, Pengasas Jurisprudens Watan dari Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM) itu berpendapat bahawa pelabur bukan sahaja melihat kadar cukai atau insentif fiskal, tetapi juga ketelusan dan kebolehpercayaan sistem pentadbiran serta jaminan keuntungan yang dapat dipungut.

Bukan itu sahaja, kata beliau, negara yang memiliki integriti institusi tinggi lazimnya menikmati pulangan ekonomi hasil kecekapan tadbir urus.

Justeru, baginya, pemulihan dana awam sebanyak RM15.5 bilion menunjukkan bahawa Malaysia mampu membina kembali kepercayaan antarabangsa.

“Dana ini sepatutnya disalurkan semula kepada sektor bernilai tambah tinggi antaranya teknologi hijau, bioekonomi dan digitalisasi perkhidmatan awam di mana pasukan STAR diberikan RM25 juta bagi pembangunan pendigitalan.

Manfaat pemulihan semula dana awam disalurkan kembali kepada rakyat menerusi pemberian subsidi misalnya inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).

“Integriti wajib dilihat sebagai aset strategik negara, tidak hanya nilai moral. Apabila tadbir urus bersih, kos transaksi menurun, pelaburan meningkat dan akhirnya produktiviti ekonomi bertambah.

“Inilah asas sebenar governance dividend, kecekapan yang terhasil daripada kejujuran sistem,” ujar beliau.

Ditanya mengenai kaedah terbaik untuk menerapkan integriti dalam agensi penguatkuasaan agar Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dapat dicapai secara menyeluruh, tidak dinafikan banyak dasar tersedia, tetapi kekurangannya terletak pada penyelarasan dan pengukuran hasil,” kata Wan Ahmad Fauzi.

“Setiap agensi pasti mempunyai KPI sendiri, tetapi tidak ada sistem nasional yang mengukur impak integriti terhadap ekonomi dan masyarakat secara holistik.

“Adakah objektif pelaburan dan perbelanjaan agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diaudit pencapaiannya dan dibuat tindakan susulan selepas dapatan dilaporkan dari aspek akauntabiliti?” soalnya.

Bagi memungkinkan perkara tersebut, beliau mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kedaulatan Negara (Suken) sebagai platform untuk memelihara Keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Kata pensyarah berkenaan, fungsinya termasuk platform strategik rentas agensi iaitu menyelaras dasar integriti, penyeliaan fiskal serta keberhasilan sosioekonomi.

Tambahnya, suruhanjaya itu juga boleh berperanan menilai dasar secara menyeluruh, bukan hanya berpandukan jumlah siasatan atau pendakwaan.

“Terdapat keperluan segera untuk melihat sejauh mana integriti dalam pematuhan prinsip kedaulatan undang-undang, pemantauan keberhasilan produktiviti di samping mengurangkan ketirisan serta memperkukuh kesejahteraan rakyat.

“KPI integriti juga perlu beranjak daripada ukuran prosedural kepada ukuran impak misalnya bukan berdasarkan ‘berapa kes selesai’, tetapi ‘berapa peratus nilai awam dipulihkan’ atau ‘berapa masa penyampaian perkhidmatan dipendekkan hasil integriti proses’.

“Saya fikir, aspek pendidikan dan pencegahan juga mesti diberi keutamaan bagi menjadikan integriti sebahagian daripada sistem ekonomi,” katanya.

Berbicara lebih lanjut, Wan Ahmad Fauzi melihat bahawa kesedaran awam meningkat disebabkan rakyat semakin peka dengan isu ketirisan, malah menuntut supaya ketelusan dijadikan budaya baharu.

Selain itu, katanya, penyertaan generasi muda ke program belia amanah menjadi bukti gelombang baharu sedang tumbuh dalam jentera pentadbiran negara.

“Reformasi tadbir urus bukan sekadar agenda pentadbiran, tetapi strategi pembinaan tamadun moden berasaskan nilai watan,” ujar beliau.

Mengulas lebih mendalam tentang langkah membina kepercayaan terhadap kerjaya penjawat awam dan agensi kerajaan yang sering dipandang skeptikal khususnya daripada generasi muda, Wan Ahmad Fauzi turut mengemukakan beberapa cadangan.

Beliau menyarankan supaya budaya baharu dalam perkhidmatan awam perlu dibina dengan mengubah cara pelantikan, latihan dan kerja, bukan slogan semata-mata.

Memetik kerangka kerja konseptual dalam membina etika tadbir urus negara berkelas dunia, beliau menekankan tiga dasar utama yang boleh dijadikan panduan iaitu pelantikan berasaskan merit dan akhlak, latihan bersandarkan etika dan maqasid serta budaya kerja berdasarkan akauntabiliti kendiri.

“Setiap pelantikan penting perlu melalui penilaian integriti dan kefahaman dasar watan, jangan hanya tumpu kelayakan akademik. Ini menanamkan nilai amanah serta jati diri sejak awal perkhidmatan.

“Latihan penjawat awam mesti berteraskan kefahaman bahawa kuasa adalah amanah, bukan keistimewaan. Setiap keputusan pentadbiran mesti mempertimbangkan kesan terhadap rakyat dan keadilan sosial.

“Penjawat awam perlu membudayakan self-auditing mindset juga dan apabila nilai ini diinstitusikan, ia mampu melahirkan generasi perkhidmatan awam cekap, berjiwa besar, berwawasan bahkan disegani rakyat,” katanya lagi.