143 majikan, 3,566 PATI ditahan di ibu negara

Iklan
Wan Mohammed Saupee

KUALA LUMPUR - Seramai 143 majikan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi membantu siasatan susulan penahanan 3,566 pendatang asing tanpa izin (PATI) di ibu negara pada tahun ini.

Statistik itu direkodkan JIM Kuala Lumpur setakat Oktober.

Iklan
Iklan

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pada tempoh itu, sebanyak 563 operasi telah dilaksanakan dengan 7,377 pemeriksaan individu dilakukan.

Menurutnya, JIM Kuala Lumpur akan terus melaksanakan pelbagai operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras kehadiran PATI serta mengekang majikan yang menggajikan serta melindungi PATI tanpa kebenaran.

Iklan

"JIM Kuala Lumpur menyediakan empat saluran rasmi untuk orang awam menyalurkan aduan berkaitan PATI.

"Saluran itu ialah hadir sendiri Bahagian Penguat kuasa JIM Kuala Lumpur, e-mel ke aduan_penguatkuasajimwpkl@imi.gov.my, hubungi talian 03-6205 7515 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) http://imi.spab.gov.my/eApps/system/index.do," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, JIM Kuala Lumpur akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Jelasnya, kerjasama masyarakat amat penting untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan negara.

Julai lalu, media melaporkan JIM menahan 1,005 majikan kerana disyaki menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin (PATI) pada tahun ini setakat 3 Julai di seluruh negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dilaporkan berkata, mereka yang ditahan terdiri majikan pelbagai sektor termasuk restoran, kilang dan kedai.