KUANTAN - Kerajaan negeri akan terus memantau serta memberi khidmat nasihat kepada pekebun di Cameron Highlands bagi memastikan penggunaan racun perosak dalam industri pertanian di negeri ini mematuhi peraturan ditetapkan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, langkah itu penting bagi menjamin keselamatan makanan serta memastikan hasil pertanian negeri ini khususnya sayur-sayuran dan buah-buahan memenuhi piawaian eksport.
Menurutnya, kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pertanian negeri akan memantau perkara itu bagi memastikan pekebun mematuhinya.
"Harap tiada pekebun melanggar peraturan ini kerana jika ia berlaku, yang ruginya mereka juga.
"Justeru, kerajaan negeri sentiasa memantau selain beri khidmat nasihat kepada pekebun supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan ini,” katanya seperti dilaporkan PahangMedia.
Terdahulu, Razali hadir merasmikan Program Townhall Bersama Pekebun dan Pemilik Pusat Pengumpulan Sayur dan Buah Peringkat Daerah Cameron Highlands di Tanah Rata, Cameron Highlands pada Khamis.
Jelasnya lagi, data menunjukkan peningkatan kadar penolakan hasil pertanian oleh negara pengimport seperti Singapura ekoran penggunaan racun perosak melebihi had dibenarkan.
Bagi menangani isu tersebut katanya, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Kawalan Keselamatan Penggunaan Racun Makhluk Perosak tahun lalu melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Tambah beliau lagi, sebanyak RM110,000 telah diperuntukkan bagi melaksanakan aktiviti berkaitan seperti sesi libat urus, bengkel penggunaan racun perosak, penghasilan bahan promosi serta penyediaan peralatan ujian makmal.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar pusat pengumpulan hasil pertanian memainkan peranan aktif memastikan setiap sayur atau buah yang diterima daripada pekebun mematuhi tempoh selamat sebelum dituai.
“Kita berharap semua pekebun-pekebun mematuhi penggunaan racun sama ada sayur-sayuran dan buah-buahan.
"Pusat-pusat pengumpulan juga diharap dapat memainkan peranan sebab ia pintu akhir sebelum hasil pertanian ni sampai ke pengguna," ujarnya.
Razali berkata, pusat pengumpulan perlu mendaftar premis dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain memastikan hasil pertanian diterima daripada peladang mematuhi peraturan ditetapkan.