DALAM mendidik generasi hari ini, isu penggunaan rotan di sekolah sering menimbulkan perdebatan hangat dalam masyarakat.
Ada yang menganggapnya sebagai warisan lama yang sudah tidak relevan dan perlukan pendekatan baharu lebih mesra pelajar.
Namun, ada juga melihatnya sebagai alat disiplin yang masih diperlukan, asalkan ia digunakan dengan hikmah dan batasannya.
Pensyarah Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ustaz Mohammad Baihaqi Md Yusnan menjelaskan, penggunaan rotan dalam ajaran Islam bukan soal untuk menyakiti atau menghukum tetapi lebih kepada mendidik, menyedarkan dan memberi pengajaran.
Beliau kemudiannya merujuk kepada sepotong hadis, pesanan Rasulullah SAW berkaitan rotan: “Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika enggan solat) apabila berusia 10 tahun serta asingkanlah tempat tidur mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
“Hadis ini menunjukkan prinsip mendidik sebagaimana ajaran Rasulullah SAW iaitu secara berperingkat bermula dengan kelembutan sebelum diikuti dengan ketegasan iaitu memukul dengan makna menggunakan rotan apabila perlu.
Hurainya, Ibnu Qayyim al-Jawziyyah dalam hal itu menyatakan pukulan dalam konteks tersebut bukanlah dengan marah atau dendam tetapi dengan niat mendidik.
“Jika pukulan itu lahir daripada kemarahan, ia bukan lagi tarbiyah, sebaliknya boleh merosakkan jiwa anak,” katanya.
Didik dengan hikmah
Menurut Ustaz Mohammad Baihaqi, dalam Islam setiap bentuk pendidikan termasuk kepada anak-anak dan pelajar mestilah berpaksikan hikmah atau kebijaksanaan sebagaimana firman ALLAH SWT: “Serulah (manusia) ke jalan Tuhan kamu dengan hikmah dan pengajaran yang baik.” (Surah an-Nahl: 125)
Ujarnya, hikmah bermaksud bijaksana iaitu bijak dalam membaca keadaan, emosi dan latar belakang seseorang anak atau pelajar sebelum bertindak.
“Ada anak boleh diajak berbicara dengan lembut dan sebaliknya ada juga yang perlu pendekatan tegas.
Dalam hal mendidik katanya, Nabi Muhammad SAW menunjukkan sikap bijaksananya apabila seorang pemuda datang kepadanya meminta izin untuk berzina.
Baginda tidak menengking atau terus menghukumnya, sebaliknya baginda menggunakan pendekatan psikologi dan empati dengan menyoal kembali pemuda tersebut dengan lembut sehingga akhirnya dia malu dan insaf sendiri.
Begitu juga contoh teladan yang baik harus ditunjukkan kepada anak-anak di rumah dan di sekolah.
Garis panduan Islam
Menurut pensyarah itu, Islam telah menetapkan batasan dan garis panduan yang jelas dalam penggunaan rotan:
1 - Tidak memukul di muka.
2 - Pukulan yang tidak mencederakan.
3 - Dilakukan setelah nasihat dan teguran yang dibuat tidak berhasil.
Jelasnya, rotan bukan simbol kekerasan, bahkan ia salah satu kaedah untuk memberi peringatan dan rasa tanggungjawab.
“Rotan menjadi wajar apabila nasihat, bimbingan dan teguran tidak lagi berkesan,” katanya.
Tegas, bukan marah
Beliau menjelaskan, dalam soal mendidik anak-anak, jauhi sikap marah yang berlebihan dan beremosi.
“Akhirnya anak-anak akan mengulangi corak yang sama apabila dewasa kelak,” katanya.
Sebaliknya, ibu bapa dan guru yang berhemah mampu menegur anak-anak dan pelajar dengan kasih serta menegakkan disiplin tanpa merosakkan jiwa mereka.
Tanggungjawab bersama
Rasulullah SAW bersabda: “Setiap kamu merupakan pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ujarnya, ibu bapa dan guru memikul tanggungjawab yang sama iaitu memastikan anak-anak dibimbing dengan seimbang antara kasih dan ketegasan.
“Oleh itu, sinergi antara ibu bapa dan guru amat penting. Kedua-duanya perlu berkomunikasi, memahami latar anak dan sepakat dalam pendekatan mendidik,” jelasnya.
Sebelum menutup kalam, beliau berpesan, rotan bukanlah musuh dalam pendidikan.
“Rotan hanyalah alat yang apabila digunakan dengan hikmah, ia mampu membentuk akhlak dan tanggungjawab.
“Namun jika disalahgunakan atau melampaui batasan ajaran Islam, ia boleh merosakkan rohani dan emosi anak-anak.
“Dalam dunia pendidikan hari ini, inilah keseimbangan yang perlu dikembalikan agar anak-anak membesar bukan kerana takut dirotan, tetapi kerana takut melanggar perintah ALLAH SWT,” ujarnya.