GENEVA - Bantuan ke Gaza, Palestin kini hanya 'sebahagian kecil daripada apa yang diperlukan' ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berusaha membangunkan semula sistem penjagaan kesihatan di wilayah berkenaan.
Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan, walaupun penghantaran bantuan kemanusiaan semakin meningkat, usaha membina semula infrastruktur perubatan Gaza dijangka menelan kos sekurang-kurangnya AS$7 bilion (kira-kira RM29 bilion).
Justeru, kata Ghebreyesus, pihaknya menggesa supaya lintasan Rafah antara Gaza dan Mesir dibuka semula, memandangkan sejumlah besar bantuan kini terperangkap di sempadan dan menunggu untuk disalurkan ke wilayah terbabit.
"WHO menggesa lintasan Rafah dibuka semula bagi membenarkan bantuan kemanusiaan masuk.
"Ketika ini sejumlah besar bantuan terperangkap di sempadan dan menunggu untuk disalurkan ke Gaza," katanya ringkas pada Khamis.
Konflik antara Israel dan Hamas yang berlarutan selama dua tahun kini berada dalam tempoh gencatan senjata hasil perjanjian diusahakan Amerika Syarikat (AS).
Pihak berkuasa kesihatan Palestin melaporkan lebih 67,000 nyawa terbunuh di Semenanjung Gaza, hampir satu pertiga daripada jumlah berkenaan adalah kanak-kanak di bawah 18 tahun.
Kadar penghantaran bantuan menurun mendadak sejak Israel mengambil alih kawalan lintasan Rafah dan menutupnya pada Mei 2024.
Sejak gencatan senjata sebelumnya runtuh pada Mac lalu, kurang daripada empat pesakit sehari dibenarkan keluar dari Gaza untuk mendapatkan rawatan luar.
Ghebreyesus menambah, meskipun keadaan bekalan makanan di Gaza menunjukkan sedikit penambahbaikan sepanjang tempoh gencatan senjata semasa, usaha yang lebih besar masih diperlukan untuk menamatkan krisis.
"Lebih 600,000 penduduk Gaza masih berdepan tahap kebuluran yang amat kritika," katanya.
Ghebreyesus berkata, pembiayaan untuk agensi kesihatan itu 'suram' yang mana prospek pembiayaan global bagi tahun hadapan terus 'kelam', dengan jangkaan lebih 14 juta kematian boleh dielakkan di seluruh dunia akibat pemotongan bajet.
Difahamkan, AS menarik diri daripada WHO awal tahun ini, dengan alasan kononnya agensi itu gagal mengurus dengan baik pandemik Covid-19 serta beberapa krisis kesihatan antarabangsa lain.
Pengunduran salah satu penyumbang dana terbesar itu menyebabkan kekurangan pembiayaan berbilion dolar dalam bajet WHO bagi tempoh 2026 hingga 2027, memaksa agensi itu mengurangkan cadangan perbelanjaannya sebanyak 21 peratus. - Agensi