Netizen Indonesia berang lokasi filem Lisa Blackpink ubah 'Tangerang jadi Myanmar'

Iklan
Lokasi Tangerang diubah menjadi Myanmar. Foto Agensi

JAKARTA – Filem antarabangsa yang dibintangi anggota kumpulan K-pop terkenal, Lisa Blackpink, mencetuskan kontroversi di media sosial selepas didakwa mengubah kawasan Tangerang, Indonesia, seolah-olah berada di Myanmar, sekali gus mengundang kemarahan warganet negara berkenaan, lapor Inews.

Filem berjudul Extraction: Tygo itu menjadi tular selepas beberapa keping gambar memperlihatkan papan tanda jalan di Tangerang ditukar kepada nama wilayah di Myanmar, dipercayai bagi keperluan penggambaran.

Iklan
Iklan

Tindakan berkenaan dianggap mengecewakan dan tidak sensitif oleh sebahagian besar pengguna media sosial.

Warganet mendakwa Tangerang digunakan bukan untuk menonjolkan identiti tempatan atau keunikan Indonesia, sebaliknya sekadar lokasi pengganti bagi negara lain. Keadaan itu menimbulkan persoalan tentang penghargaan pihak produksi terhadap lokasi penggambaran di Indonesia.

Iklan

Sebahagian pengguna media sosial turut beranggapan keputusan tersebut dibuat kerana kesukaran menjalankan penggambaran di Myanmar, kemungkinan disebabkan konflik dalaman atau faktor keselamatan.

Justeru, Tangerang dipilih sebagai alternatif, namun dengan mengekalkan sepenuhnya elemen visual yang menggambarkan Myanmar.

Iklan

Kontroversi itu mula tular di platform X, apabila akaun @Goodrecom memuat naik gambar kru produksi memasang papan tanda berkaitan Myanmar di jalan sekitar Tangerang.

Perkongsian berkenaan pantas mencetuskan reaksi, dengan ramai warganet menyuarakan rasa tidak puas hati.

Ada yang menyifatkan tindakan itu sebagai tidak menghormati kedaulatan dan identiti Indonesia, malah mempersoalkan kewajaran penggambaran dilakukan di negara itu sekiranya latar cerita tetap menggambarkan lokasi asing.

Beberapa warganet turut meluahkan rasa kesal kerana proses penggambaran dikatakan menyebabkan kesesakan lalu lintas serta penutupan jalan, sedangkan hasil visual akhirnya tidak memaparkan Indonesia sebagai latar sebenar.

Setakat ini, pihak produksi Extraction: Tygo mahupun wakil Lisa Blackpink belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kritikan yang dilemparkan warganet berkenaan isu tersebut.- Agensi