Mesin kitar semula emas diserbu

Iklan
Seorang petugas memasukkan barang kemas ke dalam mesin kitar semula. Foto: AFP

SHANGHAI - Mesin kitar semula emas automatik di sebuah pusat beli-belah di bandar Shanghai dikerumuni orang ramai yang mahu mengambil peluang untuk mendapatkan wang tunai ketika harga logam berharga itu terus melonjak tinggi.

China merupakan pengguna emas terbesar di dunia yang secara tradisinya dibeli oleh keluarga sempena majlis istimewa seperti sambutan hari lahir dan perkahwinan.

Iklan
Iklan

Harga emas yang mencecah hampir AS$5,600 (RM22,075) pada Khamis lalu menyebabkan ramai orang menyerbu mesin automatik milik Kinghood Group tersebut.

"Saya tidak pernah terfikir harganya akan meningkat secara mendadak," kata Wu, 54, yang mahu menjual syiling emas bertemakan panda yang dibeli sempena kelahiran anak perempuannya pada 2002.

Iklan

Orang ramai sanggup beratur lebih sejam untuk menjual koleksi emas milik mereka. Foto: AFP

Sebelum ini, Wu pernah menjual sebentuk cincin diwarisi daripada mendiang bapanya dengan harga kira-kira AS$1,400 (RM5,518) berbanding nilai asal jauh yang lebih rendah dibayar ibunya beberapa dekad lalu.

Iklan

Kebanyakan pelanggan mesin itu tertarik dengan iklan,'harga emas kekal stabil pada paras tertinggi. Inilah masa yang tepat untuk menjual emas'.

Ada juga individu yang sanggup beratur lama semata-mata mahu menjual emas.

"Ibu saya yang sudah agak berusia paling teruja apabila mengetahui harga emas melonjak. Dia melihat mesin kitar semula emas itu sebagai peluang untuk menambah wang pencennya. Semua orang bercakap tentang emas dan ia sedikit sebanyak merangsang emosi ibu saya," ujarnya lagi.

'Durian runtuh'

Zhao juga antara individu yang membawa cincin pusaka milik mendiang datuknya untuk ditukarkan dengan wang tunai.

Nilai emas yang dijual boleh mencecah hingga ratusan ribu yuan. Foto: AFP

Jelasnya, cincin itu dipercayai telah dibeli lebih tujuh dekad lalu sebelum diserahkan oleh ibunya, baru-baru ini.

"Saya akan menjualnya jika harga yang ditawarkan agak tinggi," katanya sambil menunjukkan cincin tertera aksara Cina bermaksud 'tuah' dan imej kecil jongkong emas tradisional.

Beberapa minit selepas Zhao memasukkan cincin tersebut ke dalam mesin kitar semula, muncul mesej tertera Kinghood akan membeli ketulan emas karat tinggi itu dengan harga lebih 12,000 yuan (RM6,804).

Wanita yang berpuas hati dengan harga tersebut kemudiannya menekan 'setuju' pada skrin dan memasukkan maklumat peribadinya serta butiran akaun bank.

Pada masa yang sama, cincin peninggalan datuknya dileburkan yang turut dipaparkan secara langsung.

"Di sini, kita dapat melihat sendiri proses mencairkan emas. Saya lebih percaya mesin kitar semula automatik ini berbanding pembeli tradisional kerana kita akan peroleh wang dalam masa singkat," jelasnya.

Seorang wanita menunjukkan barang kemas untuk dijual pada mesin tersebut. Foto: AFP

Selain aliran penjual yang berterusan, mesin tersebut turut menarik perhatian orang ramai yang terpaku melihat jumlah wang besar bertukar tangan di sudut pusat beli-belah itu.

Ada yang hampir tidak percaya apabila melihat seseorang menjual barang kemas lamanya dengan harga lebih daripada 75,000 yuan (RM42,528).

Para pemerhati juga mengerumuni sepasang warga emas apabila mesin itu mengira nilai jongkong emas sebesar jari milik mereka yang boleh mencecah lebih 122,000 yuan (RM69,180). - AFP