Dekri Gaza: Bank Sepanyol beku akaun pemilik perniagaan Israel

Iklan
Bank Banco Sabadell, bank keempat terbesar di Sepanyol membekukan akaun beberapa pemilik perniagaan dari Israel. Foto Agensi

MADRID – Beberapa pemilik perniagaan dari Israel di Sepanyol mendakwa akaun mereka dibekukan oleh bank Banco Sabadell, susulan pelaksanaan Dekri Diraja No. 10/2025 yang digubal kerajaan Sepanyol bagi menentang genosid di Gaza dan menyokong rakyat Palestin.

Menurut laporan akhbar The Calcalist, Banco Sabadell, bank keempat terbesar di negara itu kini menuntut semua pelanggan berstatus Israel menandatangani pengisytiharan bertulis bahawa mereka tidak menjalankan sebarang urus niaga yang berkaitan dengan penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki.

Iklan
Iklan

Bank beribu pejabat di Catalonia itu, yang menguruskan aset kira-kira 240 bilion euro (RM1.188 trilion) dan menggaji hampir 18,700 pekerja menyatakan langkah itu mematuhi undang-undang baharu yang diluluskan pada September lalu.

Dekri tersebut memperluas larangan eksport dan import senjata ke Israel serta melarang promosi produk atau perkhidmatan yang berasal dari penempatan haram.

Iklan

Namun, ramai usahawan Israel di Sepanyol mendakwa bank berkenaan menafsir undang-undang itu secara melampau dan tidak adil. Ada yang mengadu tidak dapat mengakses dana mereka, manakala segelintir lain sedang menimbang tindakan undang-undang atau memindahkan akaun ke institusi kewangan lain.

“Saya ada lebih 10,000 euro (RM49,500) yang tidak boleh dikeluarkan. Ramai lagi rakyat Israel di sini menghadapi masalah sama ada yang tidak dapat membayar sewa atau membeli makanan,” kata seorang wanita kepada The Calcalist.

Iklan

Seorang lagi pelanggan mendakwa pengurus bank memintanya mendapatkan pernyataan bertulis daripada setiap pelanggan Israel untuk membuktikan wang yang diterima “bersih dan mematuhi undang-undang baharu kerajaan Sepanyol”.

Banco Sabadell menjelaskan bahawa aktiviti pelanggan kini tertakluk kepada semakan ketat oleh jabatan pematuhan sebelum sebarang transaksi diluluskan.

Pengkritik pula berpendapat bank berkenaan mungkin melangkaui batas undang-undang. Mereka menegaskan dekri itu hanya mewajibkan syarikat berdaftar di Sepanyol mengesahkan pematuhan, bukan pelanggan mereka.-Agensi