Sidang Kemuncak ASEAN: Kawalan keselamatan turut tertumpu di 20 hotel penginapan rasmi

Iklan
Papan tanda Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 menghiasi sekitar ibu negara menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kawalan keselamatan sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang berlangsung di ibu negara bermula 26 hingga 28 Oktober ini turut tertumpu di kawasan 20 hotel penginapan rasmi yang menempatkan ketua-ketua kerajaan serta delegasi negara peserta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah keselamatan itu sebahagian daripada operasi menyeluruh melibatkan 10,400 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditugaskan bagi memastikan tahap keselamatan tertinggi sepanjang tempoh persidangan berlangsung.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, persiapan pasukan keselamatan kini berada pada tahap terbaik dengan beberapa latihan raptai (dry run) telah dilaksanakan sejak pertengahan Oktober lalu.

“Sidang kemuncak berprofil tinggi ini dijangka menghimpunkan 23 ketua kerajaan bersama delegasi masing-masing dan akan berada di bawah pemantauan ketat pihak keselamatan,” katanya pada sidang media di sini, pada Rabu.

Iklan

Menurut Saifuddin, fokus utama PDRM turut meliputi kawalan di laluan protokol termasuk dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang, selain Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) yang menjadi lokasi utama sidang.

“Penutupan jalan akan dilakukan secara berperingkat, bukan ‘lockdown’, bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna jalan raya dan memastikan pergerakan delegasi berjalan lancar,” katanya.

Iklan

Beliau turut menyeru masyarakat, termasuk pertubuhan masyarakat sivil (NGO) dan aktivis, agar memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang tempoh persidangan berlangsung.

“Kita menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan, namun dalam masa sama berharap semua pihak mematuhi arahan keselamatan, khususnya di kawasan yang ditetapkan sebagai zon keselamatan,” katanya.

Tambahnya, kerjasama orang ramai amat penting bagi memastikan sidang kemuncak berprestij itu berjalan dalam suasana aman dan teratur.

Menurutnya, kesiapsiagaan pasukan keselamatan kini mencapai tahap 100 peratus, dengan pemantauan berterusan oleh Ketua Polis Negara, termasuk pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan IPK Selangor yang memainkan peranan penting dalam operasi keselamatan sepanjang sidang kemuncak tersebut.