'Satu kepala, dua budaya'

Iklan
Mohd Reza (kanan) suka berjenaka hingga menimbulkan suasana ceria dalam persahabatan.

Dua lelaki berbeza bangsa bukti sahabat sejati masih wujud

JITRA – Dalam dunia sering diuji dengan perbezaan, persahabatan antara dua lelaki ini menjadi bukti keharmonian dan kasih sayang tidak mengenal bangsa atau agama.

Selama sedekad, M Thanashilan dan Mohd Reza Azril Rahmat bukan sekadar rakan sekerja, malah rakan berkongsi tawa, duka dan detik kehidupan yang membentuk ikatan lebih kukuh daripada sekadar sahabat.

Iklan
Iklan

Dari meja pejabat ke padang futsal, dari kenduri Melayu ke perayaan Deepavali, mereka membuktikan perpaduan bukan hanya slogan tetapi realiti hidup dalam hati rakyat Malaysia.

Thanashilan, 35, mengakui mula mengenali Mohd Reza, 38, sejak 2015 selepas ditempatkan di sebuah pejabat sama di Alor Setar, Kedah.

Iklan

Sikap ringan tulang dan tidak berkira dalam melakukan urusan kerja menjadikan mereka semakin serasi.

Thanashilan (duduk baris kedua, kanan) mengakui sikap saling membantu dan memahami antara satu sama lain membuat hubungan persahabatan di tempat kerja menjadi unik.

Iklan

Secara kebetulan, rumah mereka pula tidak jauh antara satu sama lain dan hanya berjarak kira-kira 100 meter sahaja.

Keadaan itu membolehkan mereka berpeluang melakukan riadah dan bersantai selepas waktu bekerja.

“Walaupun selepas beberapa tahun kami ditukarkan ke unit berbeza dan berpindah ke perumahan baharu, namun hubungan kami tidak pernah putus, malah sering menghabiskan masa bersama seperti bermain futsal, permainan video, lepak minum dan ada kalanya berkongsi hobi sama.

“Bagaimanapun, tanpa disangka, tahun lalu kami kembali menjadi rakan sepejabat,” jelasnya tersenyum.

Lebih membuatkan Thanashilan mesra dengan rakan lain, mereka menggelarnya dengan panggilan 'Lan'.

Menceritakan lebih lanjut latar belakang keluarga, anak sulung daripada dua beradik ini menjelaskan tiada perasaan kekok berinteraksi bersama rakan berbeza agama, malah memahami adat dan budaya masing‑masing memandangkan sudah terbiasa kerana dibesarkan di perkampungan Melayu.

“Masa itu, kami satu-satunya keluarga India tinggal dalam komuniti Melayu. Semua aktiviti dilakukan bersama termasuk jika ada kenduri.

“Masyarakat kampung juga tidak pernah meminggirkan kami walaupun berlainan bangsa dan agama, malah boleh ‘ngam’ dan ‘satu kepala’ ketika zaman kanak‑kanak dahulu,” katanya.

Thanashilan berkata, ia merupakan satu kelebihan buat dirinya setelah memasuki alam pekerjaan kerana perlu banyak bergaul dengan pelbagai latar belakang termasuk Mohd Reza yang banyak membantu.

“Saya tiada masalah bergaul dengan rakan lain, malah di tempat saya bekerja majoritinya orang Melayu. Kadang-kadang orang luar tersalah sangka dan beranggapan saya orang Melayu kerana rupa tidak jauh beza, selain fasih berbahasa Malaysia.

“Rakan pula panggil saya Lan... Kat sini kalau tanya siapa Thanashilan, orang tak kenal tapi bila tanya mana Lan, semua orang tahu,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Reza berkata, dia banyak belajar toleransi, bantu-membantu, pemurah dan saling melengkapi melalui sahabatnya itu.

“Kami dah biasa beraya bersama, tak kira Aidilfitri atau Deepavali. Begitu juga apabila salah seorang jatuh sakit atau perlukan bantuan, pasti seorang lagi akan ‘sampai’.

“Berlainan bangsa bukanlah jurang, malah saling menyempurnakan,” jelasnya.