ADA macam-macam idea dan cadangan diberikan pelbagai pihak selepas institusi pendidikan negara digemparkan dengan pelbagai insiden yang amat tragik.
Kisah malang bermula dengan kematian Zara Qairina yang ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustapha pada awal pagi 16 Julai lalu. Pelajar malang itu kemudian meninggal dunia.
Selepas itu kes empat pelajar lelaki disyaki merogol pelajar tingkatan tiga secara bergilir-gilir di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah.
Dan terbaru seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun disyaki membunuh pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Bandar Utama.
Semua kes ini masih dalam siasatan polis kecuali kes Zara Qairina yang sedang melalui prosiding inkues di Mahkamah Koroner bagi merungkai kejadian malang itu.
Jadi berbalik kepada banyak cadangan yang diberikan untuk memastikan sekolah jadi tempat paling selamat, ada idea yang bagus tetapi ia perlu memerlukan pertimbangan dan kebolehlaksanaan.
Antara yang dicadangkan ialah pemasangan kamera litar tertutup, sediakan alat pengesan logam, kembalikan kuasa guru dan hukuman rotan serta beberapa desakan supaya keselamatan sekolah dipertandingkan.
Satu lagi cadangan ialah memberikan penekanan pada agama dan ini perlu disokong.
Namun ironinya ada beberapa kes jenayah juga berlaku di sekolah agama. Jangan lupa kejadian yang menimpa Zara Qairina berlaku di sekolah agama.
Selepas mengamati semua pandangan, barangkali sekolah boleh jadi seperti sebuah penjara kawalan maksimum ala Kem Tahanan Teluk Guantanamo.
Kem ini popular kerana kebanyakan pengganas ditempatkan oleh Amerika Syarikat di situ, jadi perumpamaan yang saya berikan agak keterlaluan dan tak masuk akal.
Bagaimanapun cuba kita kembali rasional dan belajar dari Amerika Syarikat (AS) yang sering mengalami kes-kes pembunuhan di sekolah.
Soalannya adakah mereka tidak ambil iktibar? Jawapannya sudah tentu mereka ambil iktibar dan ambil pelbagai langkah untuk menjadikan sekolah selamat.
Tetapi adakah ia dapat menghalang kejadian serupa berlaku pada masa depan? Jawapannya tiada jaminan bagi soalan ini.
Kalau kita buat semakan dengan ChatGPT memang ada banyak langkah dibuat di AS bagi memastikan sekolah dan pelajar mereka selamat.
Tetapi antara cabaran besar yang dihadapi ialah kawalan berlebihan menyebabkan tekanan kepada pelajar dan suasana pembelajaran jadi tidak menyeronokkan.
Jadi kesimpulannya bagi isu ini, kita perlu benarkan pihak kementerian untuk bincang dengan menyeluruh tindakan yang terbaik untuk institusi pendidikan.
Saya yakin pihak kementerian telah mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak untuk merungkai masalah yang kita hadapi sekarang.
Evolusi akhlak buruk
Saya nak sentuh juga tentang hakikat bahawa sesetengah perkara itu tidak pernah berubah pun sejak dahulu sampai sekarang dan akan terus berevolusi mengikut masa.
Kalau saya nak imbas semasa zaman saya bersekolah dahulu satu negara kecoh dengan budaya bohjan dan bohsia. Istilah ini merujuk kepada golongan remaja yang gemar aktiviti lumba haram dan seks bebas.
Tetapi pada zaman sekarang masalah sosial ini tetap berlaku cuma yang berubah hanyalah nama sahaja. Golongan itu kini popular sebagai mat dan minah rempit.
Saya tidak hairan jika dalam tempoh 10 tahun lagi pasti ada nama baharu yang diberikan, tetapi perbuatan sumbang mereka tetap sama, tidak berubah.
Tuding menuding jari
Sementara itu, perbuatan salah menyalahkan antara satu sama lain juga begitu galak di media sosial.
Ada salahkan ibu bapa, ada mengatakan guru buat silap, malah bagi sesetengah pihak menteri patut letak jawatan kerana gagal tangani masalah dan jadi punca semua ini berlaku.
Ini semua berlaku kerana dunia pendidikan memang ada banyak stake holders atau pemegang taruh, jadi tidak hairanlah dengan tuding menuding, malah setiap daripada kita juga pernah berada di sekolah.
Marilah kita insafi bahawa ini tanggungjawab kita bersama untuk diselesaikan.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian