DENPASAR – Seorang lelaki di Bali, Indonesia tergamak membunuh isterinya yang lumpuh akibat strok selepas bertahun-tahun menjaganya, sebelum menyerah diri kepada pihak polis kerana berasa bersalah atas perbuatannya.
Suspek, Sunardi berusia 48 tahun, dipercayai membunuh isterinya, Evi Dwi Yulianawati, 50, di sebuah rumah sewa di Denpasar Barat pada 16 September lalu.
Menurut Ketua Bahagian Komunikasi Polis Denpasar, Komisioner I Ketut Sukadi, hasil siasatan awal mendapati suspek menekup muka mangsa menggunakan bantal ketika wanita berkenaan sedang berehat di katil.
“Suspek mengaku berasa penat dan tertekan selepas lama menjaga isterinya yang terlantar akibat strok, lalu bertindak menamatkan nyawa mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Difahamkan, Sunardi pada mulanya berniat untuk menamatkan nyawanya sendiri kerana tidak sanggup lagi menanggung tekanan menjaga isterinya yang sakit.
Namun, dia berubah fikiran kerana bimbang tiada siapa yang akan menjaga isterinya sekiranya dia meninggal dunia terlebih dahulu.
“Suspek akhirnya membuat keputusan untuk membunuh isterinya dahulu sebelum dia sendiri cuba mengakhiri hidupnya,” jelas Sukadi.
Selepas memastikan isterinya meninggal dunia, Sunardi bertindak meminum cecair pencuci lantai dan menghiris pergelangan tangan kirinya menggunakan pisau dalam cubaan membunuh diri.
Bagaimanapun, percubaan itu gagal sebelum dia akhirnya menyerahkan diri di Balai Polis Denpasar Barat.
“Motif utama perbuatan ini adalah keletihan fizikal dan tekanan emosi akibat menjaga isteri yang telah lama sakit,” tambah Sukadi.
Sunardi kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 44(3) Akta Keganasan Rumah Tangga Indonesia 2004 atau Seksyen 338 Kanun Keseksaan (KUHP) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun jika disabit kesalahan. – Agensi