JPJ pamer taring didik pengguna

Iklan
JPJ kini benar-benar mempamerkan taringnya apabila satu demi satu operasi berskala besar digerakkan. Gambar hiasan

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) kini benar-benar mempamerkan taringnya apabila satu demi satu operasi berskala besar digerakkan bagi mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.

Antara yang paling menonjol ialah Op Luxury, operasi khas memburu kenderaan mewah yang gagal mematuhi peraturan asas - tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau insurans.

Iklan
Iklan

Ini diikuti pula Op Khas Tali Pinggang Keledar, Op Khas Lebihan Muatan, dan penguatkuasaan wajib peranti had kelajuan (SLD) untuk kenderaan perdagangan.

Semua tindakan ini memperlihatkan keazaman Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ untuk melaksanakan undang-undang tanpa pilih kasih dan tanpa kompromi.

Iklan

Langkah MOT baru-baru ini mendedahkan senarai 28 syarikat pengangkutan dan bas ekspres dengan rekod saman tertinggi membuktikan penguatkuasaan kali ini bukan sekadar amaran di atas kertas.

Lebih 11 syarikat kenderaan barangan dikenal pasti memiliki lebih 1,000 saman tertunggak, manakala 17 syarikat pengendali bas ekspres pula mencatatkan lebih 200 saman.

Iklan

Ini bukan angka kecil, dan sudah cukup menggambarkan betapa seriusnya masalah kelalaian di jalan raya.

Kementerian dan JPJ bertegas: penguatkuasaan ini bukan untuk menghukum semata-mata, tetapi untuk mendidik dan membina budaya patuh undang-undang.

Dalam konteks keselamatan awam, nyawa tidak boleh dijadikan taruhan atas nama keuntungan atau cuai tanggungjawab.

Pelaksanaan penguatkuasaan mega sebegini sudah tentu akan membuka mata banyak pihak.

Banyak impak negatif akan membelenggu pengguna jalan raya apabila membabitkan kemalangan.

Memetik kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke beberapa hari lalu, dengan nada tegas beliau memberitahu JPJ tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pemandu, pemilik atau syarikat pengangkutan yang cuai serta mengabaikan keselamatan awam.

Penguatkuasaan ini bukan sahaja untuk menghukum, tetapi bagi mendidik pengusaha supaya lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya meletakkan nyawa pengguna lain dalam risiko.

Jalan raya bukan gelanggang kebal. Bila undang-undang digerun, barulah keselamatan dihormati.