TOKYO - Seorang lelaki di Jepun ditahan selepas didapati menipu aplikasi penghantaran makanan untuk menikmati lebih 1,000 hidangan percuma dalam tempoh dua tahun, dengan kerugian dianggarkan melebihi 3.7 juta yen (RM114,000).
Takuya Higashimoto, 38, ditangkap awal Oktober di Nagoya, wilayah Aichi selepas membuat 1,095 pesanan makanan melalui aplikasi Demae-can dan mendakwa makanan tidak diterima bagi mendapatkan bayaran balik, lapor Japan Times.
Taktiknya adalah memilih penghantaran tanpa sentuhan dan kemudian menggunakan ciri sembang dalam aplikasi untuk menipu kononnya makanan tidak sampai, walaupun ia telah dihantar.
Pada 30 Julai lalu, dia menggunakan nama dan alamat palsu untuk membuka akaun baharu di aplikasi berkenaan dan menempah ais krim, bento serta stik ayam.
Selepas pesanan dihantar, dia memohon bayaran balik sebanyak 16,000 yen (RM500) atas alasan pesanan tidak diterima.
Pihak berkuasa mendedahkan Higashimoto yang sudah lama menganggur mengendalikan 124 akaun sejak April 2023 untuk melaksanakan penipuannya.
Dia mendaftar dan membatalkan akaun dalam tempoh beberapa hari bagi mengelak dikesan, selain menggunakan kad prabayar dan nama palsu.
“Pada mulanya saya cuma mencuba helah ini, tapi selepas dapat hasilnya, saya tak mampu berhenti,” katanya kepada polis.
Susulan kejadian itu, pihak Demae-can berikrar memperketat proses pengesahan identiti dan memperkenalkan sistem amaran bagi mengesan aktiviti luar biasa di platform mereka.
Insiden ini turut mengejutkan netizen di Jepun dan China.
“Dia memang licik, tapi rajin juga sebab buka begitu banyak akaun untuk tipu sistem," menurut seorang pengguna media sosial. - Agensi