OVIEDO - Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez pada Selasa mengumumkan rancangan untuk melarang golongan bawah umur 16 tahun daripada mengakses platform media sosial sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk memperketatkan kawalan selia, lapor Anadolu Ajansi.
"Kami akan melindungi mereka daripada dunia digital yang tidak terkawal,” katanya pada Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia di Dubai.
Beliau berkata, platform akan diwajibkan untuk memperkenalkan langkah pengesahan umur bagi tujuan akses.
Sanchez berkata, kerajaan akan meluluskan rang undang-undang minggu depan yang akan meletakkan liabiliti jenayah ke atas eksekutif platform digital bagi penyebaran kandungan haram.
Beliau turut menggesa pendakwa raya untuk menyiasat kandungan haram di platform berkenaan.
Beliau menambah bahawa Sepanyol akan menjadikan manipulasi algoritma sebagai satu kesalahan jenayah.
"Maklumat palsu tidak muncul begitu sahaja,” katanya.
Sanchez memetik contoh aktiviti yang didakwa sebagai jenayah, termasuk dakwaan bahawa pornografi kanak-kanak dicipta menggunakan alat kecerdasan buatan Grok atau disebarkan di platform media sosial lain.
Beliau turut merujuk kepada maklumat palsu yang menurutnya disebarkan oleh Elon Musk, CEO X, mengenai rancangan Sepanyol untuk melunaskan status kira-kira 500,000 pendatang.
"Ini hanyalah sebahagian kecil daripada masalah yang lebih besar,” amaran Sanchez.
"Kami akan mempertahankan kedaulatan digital kami daripada sebarang campur tangan asing.”
Beliau mengakui bahawa perjuangan untuk menjadikan platform berkenaan lebih selamat bukanlah sesuatu yang mudah.
"Syarikat media sosial lebih kaya daripada kebanyakan negara, termasuk negara saya, tetapi kuasa dan pengaruh mereka tidak seharusnya menakutkan kita,” katanya.
Walaupun beliau menyatakan bahawa EU sudah mula bergerak ke arah menyekat platform ini, Sanchez berkata, sekumpulan enam negara Eropah mahu mengawal media sosial dengan lebih lanjut dan akan bertemu tidak lama lagi untuk membincangkan inisiatif berkenaan.
"Ada yang akan mengatakan bahawa jika kita tidak menyukai mereka, kita boleh sahaja tidak menggunakannya. Mereka betul. Bagi kebanyakan daripada kita, itu masih menjadi pilihan, tetapi bagi anak-anak kita dan ramai warganegara, ia bukan lagi satu pilihan. Media sosial telah menjadi bahagian penting dalam hidup mereka,” katanya.
"Kita perlu mendapatkan semula kawalan. Kita perlu memastikan platform ini mengikut peraturan seperti orang lain.” - Bernama-Anadolu