PUTRAJAYA - Masyarakat dinasihati agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan gambar insiden membabitkan suspek dan mangsa tikam di sebuah sekolah di Petaling Jaya.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, semua pihak perlu menghormati undang-undang dan menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa.
“Saya nasihatkan, kita ada undang-undang, kita ada peraturan, lebih-lebih lagi apabila apa yang berlaku ini melibatkan anak-anak di bawah umur.
“Kita ada akta yang berkaitan dengan anak-anak bawah umur dan ia perlu dikendalikan serta diuruskan mengikut akta yang ada tersebut,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini pada Selasa.
Justeru, beliau menyeru mereka yang mempunyai maklumat untuk menyerahkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Jadi saya menyeru, kalau masing-masing ada maklumat, sila kemukakan maklumat itu kepada pihak polis,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan suspek terkait dengan isu mental, Mohd Azam berkata, PDRM akan menjalankan siasatan sepenuhnya kes tersebut.
“Perkara itu masih dalam siasatan polis dan kita tunggulah laporan polis seterusnya," ujarnya.