KUANTAN - Keyakinan terhadap pelaburan mata wang kripto selepas menerima pulangan awal RM583 menyebabkan seorang pengusaha ladang sawit mengalami kerugian RM290,988 akibat terjerat skim pelaburan tidak wujud.
Lelaki berusia 51 tahun dari Jerantut itu dipercayai mula terjerat pada 3 November lalu selepas menerima mesej WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang menawarkan peluang pelaburan menggunakan platform Crypto Felli.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, mangsa kemudian dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp bernama GLASSNODE-AW 8075 sebelum ditawarkan untuk menyertai urus niaga pelaburan tersebut.
Menurutnya, mangsa pada peringkat awal membuat transaksi sebanyak RM452 dan kemudiannya menerima pulangan sebanyak RM583 yang dimasukkan terus ke dalam akaun bank miliknya.
"Pemberian pulangan awal itu dipercayai telah meningkatkan keyakinan mangsa terhadap pelaburan berkenaan sehingga mendorong mangsa melakukan transaksi wang secara berperingkat ke tiga akaun bank penerima yang melibatkan akaun individu dan sebuah akaun syarikat.
"Mangsa seterusnya diarahkan membuat beberapa pembayaran atas alasan upah perkhidmatan sebanyak 30 peratus dan cukai pendapatan sebanyak 20 peratus bagi membolehkan keuntungan pelaburan dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Azry berkata, mangsa turut dimaklumkan terdapat kesilapan rujukan transaksi dan diminta membuat pembayaran semula dalam jumlah yang sama.
Katanya, sepanjang tempoh 3 hingga 8 November lalu mangsa telah melakukan sebanyak 12 transaksi dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM290,988.
"Mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu apabila terus diminta membuat pembayaran tambahan dalam jumlah yang besar sebelum tampil membuat laporan polis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat, khususnya melalui kumpulan WhatsApp, Telegram atau media sosial.
Tegasnya, orang ramai juga tidak seharusnya mempercayai tawaran pelaburan daripada individu tidak dikenali atau membuat bayaran tambahan atas alasan cukai, caj perkhidmatan dan bayaran pelepasan keuntungan tanpa pengesahan sewajarnya.
Katanya, semak kesahihan pihak yang menawarkan pelaburan melalui saluran rasmi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan semak nombor akaun bank serta nombor telefon yang mencurigakan melalui portal Semak Mule PDRM.
"Jangan benarkan akaun bank sendiri digunakan untuk menerima atau memindahkan wang bagi pihak individu yang tidak dikenali.
"Sekiranya menjadi mangsa penipuan, segera hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 serta pihak bank bagi membolehkan tindakan segera diambil," katanya.