IPOH – Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Negeri Perak, Mohd Rawi Abdullah mendedahkan bahawa kad pengenalannya yang hilang pada Julai lalu telah disalah guna oleh individu tidak bertanggungjawab untuk menuntut bantuan tunai di bawah Program Bantuan Asas Rahmah (SARA).
Beliau menyedari perkara itu pada 30 September selepas semakan menggunakan MyKad baharu mendapati baki SARA hanya tinggal RM2.70, sedangkan beliau belum pernah menggunakan bantuan tersebut.
“Saya menyangka kad pengenalan lama akan terbatal secara automatik sebaik sahaja kad baharu dikeluarkan. Namun, insiden ini membuktikan sebaliknya apabila kad lama masih boleh digunakan dalam sistem kerajaan,” katanya ketika sidang akhbar di sini pada Isnin.
Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu di Balai Polis Sungai Senam pada 7 Oktober lalu.
Menurutnya, kejadian itu bukan sahaja menyebabkan kerugian kecil, malah menimbulkan kebimbangan besar terhadap risiko penyalahgunaan identiti oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Bayangkan jika individu itu menggunakan MyKad lama saya untuk melakukan transaksi kewangan atau terlibat dalam jenayah, saya yang akan menanggung akibatnya,” jelasnya.
Mohd Rawi berkata, sebelum ini pihaknya telah menerima tiga aduan daripada orang awam mengenai kejadian serupa, namun tidak menyangka dirinya turut menjadi mangsa.
“Saya pernah anggap ia kes terpencil, tetapi bila terkena pada diri sendiri, barulah saya sedar betapa seriusnya masalah ini. Sebab itu saya ambil keputusan untuk buat sidang akhbar agar orang lain lebih berhati-hati,” jelasnya.